awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Trump kecam persembahan Bad Bunny di Super Bowl LX: “Antara yang terburuk..."
Cadangan jenamakan ASWARA sebagai Universiti P. Ramlee kembali dibangkitkan
21 Orang Asli ditahan bantu siasatan kes ceroboh tanah Sultan Pahang
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

AirBorneo lancar penerbangan pertama, catat era baharu dalam kesalinghubungan Sarawak

Bernama
Bernama
02/01/2026
06:25 MYT
AirBorneo lancar penerbangan pertama, catat era baharu dalam kesalinghubungan Sarawak
Pesawat AirBorneo DHC6-400 sebelum berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching hari ini. AirBorneo dengan bangganya mengumumkan pelancaran berjaya penerbangan sulungnya dengan menggunakan corak dan identiti pesawat sendiri. - FotoBERNAMA
KUCHING: AirBorneo hari ini mencatatkan pencapaian penting dalam landskap penerbangan Sarawak dengan kejayaan pelancaran penerbangan pertamanya di bawah lambang pengenalannya sendiri.
Perkhidmatan pertama ini menghubungkan Kuching dengan Mukah dan Tanjung Manis, memperkukuh peranan AirBorneo dalam meningkatkan kesalinghubungan serantau di Sarawak dan Sabah.
Penerbangan Kuching-Mukah, beroperasi menggunakan pesawat ATR72-500, berlepas pada 8.25 pagi manakala perkhidmatan Kuching-Tanjung Manis, yang menggunakan pesawat DHC6-400, berlepas tidak lama kemudian pada 8.45 pagi.
Pelancaran itu dilihat sebagai satu langkah besar ke hadapan dalam memperkukuh infrastruktur pengangkutan Sarawak oleh Menteri Pengangkutannya, Datuk Seri Lee Kim Shin, yang menyifatkan majlis tersebut sebagai detik transformatif bagi negeri ini.
"Pelancaran AirBorneo merupakan pencapaian penting dalam memacu infrastruktur pengangkutan Sarawak dan memperkukuh komitmen negeri untuk meningkatkan kesalinghubungan di Sabah dan Sarawak serta rantau lain," katanya kepada pemberita selepas melancarkan penerbangan pertama AirBorneo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini hari ini.
Lee berkata melalui syarikat penerbangan ini, kerajaan negeri Sarawak akan terus menyediakan perkhidmatan udara luar bandar yang penting di seluruh Sarawak, Sabah dan Labuan.
Katanya dalam tempoh peralihan, operasi akan diteruskan seperti biasa dengan keselamatan dan kebolehpercayaan menjadi keutamaan.
"Ia dirangka dengan mandat untuk beroperasi berlandaskan disiplin komersial dan tadbir urus yang baik selain memenuhi peranan perkhidmatan awam yang penting dalam memastikan komuniti kita terus mendapat akses perhubungan," katanya.
Beliau berkata walaupun perkhidmatan udara luar bandar terus berteraskan modal dari segi operasi dan kewangan, syarikat penerbangan itu akan berkembang secara berperingkat ke laluan serantau terpilih.
"Pengembangan ini akan berdasarkan ketersediaan pesawat, permintaan pasaran, kemampanan laluan dan perjanjian perkhidmatan udara dua hala yang berkaitan untuk memastikan pertumbuhan yang berhemat dan daya maju jangka panjang," katanya.
Lee berkata AirBorneo masih pada peringkat awal susulan pengambilalihan MASwings dan penerimaan Lesen Operasi Udara.
Katanya pasukan khusus dan pasukan petugas telah ditubuhkan untuk mengkaji pengoptimuman kos jangka panjang, kecekapan penyelenggaraan serta kemampanan kewangan.
"Kami baru sahaja mendapat Lesen Operasi Udara dan AirBorneo kini merupakan pemilik sah selepas pengambilalihan MASwings.
"Beri kami sedikit masa dan kami akan melaksanakannya," katanya ketika ditanya mengenai perancangan syarikat penerbangan itu untuk mengurangkan kos bagi mengekalkan operasi dalam tempoh jangka panjang.
Sementara itu, Pengerusi AirBorneo Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki menekankan misi syarikat penerbangan itu yang lebih luas melangkaui operasi komersial.
"AirBorneo berbangga untuk menghubungkan Sabah dan Sarawak, membuka peluang baharu untuk pertumbuhan ekonomi dan menggiatkan semula perjalanan di rantau ini. Selain menjadi syarikat penerbangan komersial, ia menggalas mandat perkhidmatan awam untuk memastikan komuniti luar bandar terus mendapat akses perhubungan," katanya.
Dengan bermulanya penerbangan di bawah jenamanya sendiri, AirBorneo dijangka memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan ekonomi, meningkatkan aksesibiliti bagi komuniti luar bandar dan memperkukuh kesalinghubungan udara di Sarawak dan rantau yang lebih luas.
Pada majlis pelancaran penerbangan pertamanya, AirBorneo turut memperkenalkan pakaian seragam rasmi kru kabin yang diinspirasikan daripada warisan budaya Sarawak dan direka khas untuk perkhidmatan penerbangan.
-- BERNAMA
Topic Berkaitan
#AirBorneo
#kesalinghubungan serantau di Sarawak dan Sabah
#Mukah
#Kuching
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan