Krisis tenaga: Pelaksanaan Biodiesel B15 penyelesaian paling praktikal - PM Anwar

Kerajaan menetapkan biodiesel B15 sebagai langkah segera menangani krisis tenaga global, dengan jaminan bekalan, subsidi diesel dan peralihan tenaga hijau.
Biodiesel dikenal pasti sebagai penyelesaian paling praktikal dan segera bagi menangani krisis tenaga global yang semakin meruncing, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau, yang juga Menteri Kewangan, berkata langkah itu merupakan antara keputusan utama Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikannya pada Selasa.
Anwar berkata, peningkatan kadar campuran biodiesel kepada B15 akan dilaksanakan secara berperingkat menggunakan infrastruktur sedia ada, sekali gus membolehkan tindakan pantas diambil tanpa perlu menunggu pembangunan sistem baharu sepenuhnya.
“Dengan asas industri dan kapasiti domestik yang kukuh, langkah ini bukan sahaja dapat menstabilkan bekalan semasa, malah membina daya tahan tenaga negara agar kehidupan rakyat kekal terpelihara dalam menghadapi ketidaktentuan global,” katanya.
Perdana Menteri menambah, langkah tersebut adalah sebahagian daripada hala tuju jelas kerajaan dalam mengurus tekanan bekalan tenaga global yang dijangka berpanjangan, dengan keutamaan diberikan kepada perlindungan kesejahteraan rakyat serta kestabilan kehidupan harian.
Malaysia ketika ini melaksanakan mandat biodiesel B10 di peringkat nasional bagi sektor pengangkutan, dengan penggunaan B20 sudah dilaksanakan di beberapa kawasan terpilih termasuk Labuan, Langkawi dan sebahagian Sarawak.
Berdasarkan data industri, pengeluaran biodiesel negara mencecah kira-kira 1.5 bilion liter setahun, namun masih berada di bawah kapasiti maksimum sedia ada, memberi ruang untuk peningkatan adunan tanpa gangguan kepada bekalan domestik.
Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan memberi jaminan bahawa bekalan tenaga dan barangan asas akan terus dipastikan mencukupi, dengan PETRONAS memainkan peranan penting dalam perancangan awal bagi menjamin kesinambungan bekalan untuk beberapa bulan akan datang.
Pada masa sama, usaha menampan kenaikan kos sara hidup diperkukuh menerusi pemberian bantuan tambahan subsidi diesel, khususnya kepada pesawah, petani, pekebun kecil serta pemilik kenderaan individu.
Beliau berkata, bagi mengurus tekanan permintaan tenaga, kerajaan turut melaksanakan langkah kecekapan penggunaan tenaga termasuk dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) untuk penjawat awam yang bermula esok, selain mempergiat Ops Tiris bagi membanteras ketirisan dan aktiviti penyeludupan bahan api.
Selain itu, Anwar memaklumkan MTEN turut bersetuju agar peralihan kepada sumber tenaga boleh baharu dipercepatkan dalam jangka sederhana dan panjang.
Menurut beliau, langkah berkenaan adalah strategi penting bagi mengurangkan kebergantungan negara kepada bahan api import yang terdedah kepada ketidaktentuan geopolitik dan pasaran global.
Dalam catatannya, Perdana Menteri turut menyeru semua pihak agar menghadapi situasi ini dengan tekad, disiplin serta semangat kebersamaan demi memastikan kehidupan dan kepentingan rakyat terus terpelihara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

