Tiada pelanggaran SOP dalam operasi iring banduan - Jabatan Penjara Malaysia

Jabatan Penjara Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya mengambil maklum video tular yang mendakwa berlaku pelanggaran SOP melibatkan kenderaan jabatan dalam operasi berkenaan. - Foto tular/via Sinar Harian
Jabatan Penjara Malaysia menegaskan bahawa tiada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam operasi pengiringan banduan ke mahkamah hari ini, dan setiap tindakan pegawai berlandaskan pertimbangan keselamatan, keutamaan operasi serta situasi semasa di lapangan.
Jabatan itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya mengambil maklum video tular yang mendakwa berlaku pelanggaran SOP melibatkan kenderaan jabatan dalam operasi berkenaan.
Kenyataan itu memaklumkan operasi pengiringan tersebut melibatkan pergerakan konvoi dari Penjara Kajang ke beberapa lokasi mahkamah serta hospital sekitar Lembah Klang, yang terdiri daripada dua bas dan sebuah van sebagai kenderaan pendahulu.
“Sepanjang perjalanan, konvoi bergerak secara teratur dengan penggunaan lampu mata arah dan siren bagi tujuan keselamatan serta pematuhan kepada prosedur yang ditetapkan. Jarak antara kenderaan dikekalkan secara konsisten dan tidak terputus,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, insiden kerosakan teknikal melibatkan sebuah bas berlaku sejurus selepas konvoi bergerak, menyebabkan kenderaan itu tidak dapat meneruskan perjalanan.
Menurut jabatan itu, keputusan diambil oleh pegawai bertugas untuk meneruskan pergerakan konvoi utama bagi memastikan penghantaran banduan ke destinasi mahkamah berjalan mengikut jadual serta tidak menjejaskan urusan perbicaraan.
“Pergerakan konvoi juga melibatkan pemisahan laluan yang dirancang apabila kenderaan pendahulu meneruskan perjalanan ke hospital manakala bas pengiring ke mahkamah yang telah ditetapkan.
"Semua pergerakan ini adalah selaras dengan perancangan operasi dan keperluan logistik semasa,” menurut kenyataan itu.
Jabatan itu turut menegaskan komitmen terhadap prinsip ketelusan dan tidak akan berkompromi dengan sebarang ketidakpatuhan prosedur, justeru semakan dalaman akan tetap dilaksana bagi menilai keseluruhan operasi serta memastikan tahap pematuhan SOP sentiasa berada pada tahap tertinggi.
Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak tepat yang boleh menjejaskan imej dan integriti jabatan berkenaan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

