Asnida Daim didakwa pada Selasa - Peguam

Asnida dilihat hadir kira-kira jam 9.50 pagi tadi dengan menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) bersama dua peguamnya. - Foto Bernama
Anak kepada bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Asnida Abdul Daim akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa.
Peguam Asnida, Yu Ying Ying berkata, anak guamnya itu akan didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Katanya, Asnida sebelum ini diminta SPRM untuk hadir sebagai saksi bagi membantu siasatan dan merekodkan keterangan.
Bagaimanapun, peguamnya mendakwa proses tersebut berubah apabila kenyataan diambil di bawah Seksyen 53 tanpa kehadiran peguam,
“Ini menafikan hak anak guam saya seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 53,” katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 berkaitan dengan kesalahan gagal mematuhi notis bertulis daripada SPRM untuk mengisytiharkan harta.
Individu yang gagal mematuhi notis itu boleh dihukum penjara sehingga 5 tahun dan denda tidak melebihi RM100,000 jika sabit kesalahan.
Terdahulu, SPRM merekodkan keterangan Asnida di Ibu Pejabat SPRM hampir lima jam bermula pukul 10 pagi.
Asnida dilihat hadir kira-kira jam 9.50 pagi dengan menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) bersama dua peguamnya.
Selain beliau, tiga lagi anak Daim iaitu Md Wira Dani, Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin, sepatutnya hadir hadir memberi keterangan pada Isnin, namun tidak kelihatan.
Sehingga kini, Astro AWANI masih berusaha mendapatkan kenyataan rasmi daripada SPRM.
Pada 27 Februari lalu, SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan telah mengeluarkan Notis Kesan Individu terhadap empat anak Daim susulan kegagalan memberi maklum balas serta tidak mematuhi dua notis rasmi yang diserahkan sebelum ini.
Siasatan Op Godfather dijalankan mengikut Seksyen 23 dan Seksyen 36 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
SPRM turut menjelaskan Notis Kesan Individu yang dikeluarkan bukan satu bentuk hukuman atau senarai dikehendaki, sebaliknya merupakan mekanisme prosedural bagi mengesan dan memastikan kehadiran individu untuk membantu siasatan.
Siasatan terhadap Daim dan keluarganya bermula susulan pendedahan Pandora Papers pada 2021 oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ), yang mendakwa kewujudan syarikat serta aset luar pesisir dikaitkan dengan mereka dan sekutu perniagaan.
Maklumat itu menjadi asas kepada risikan awal sebelum pembukaan kertas siasatan oleh SPRM pada 2023.
Sepanjang tempoh Jun hingga November 2023, SPRM turut menyerahkan notis mengikut Seksyen 36(1)(a) dan 36(1)(b) Akta SPRM 2009 kepada Allahyarham Tun Daim, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid serta anak-anak mereka bagi tujuan pengisytiharan harta.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

