Azar Azmi menangis terima wang RM40,000 dari Aliff Syukri

Aliff turut menyatakan kesediaan untuk menawarkan pekerjaan kepada Azar di syarikat miliknya. - Foto Sinar Harian
“SAYA menerima apa sahaja tawaran kerja yang Datuk berikan. Jumlah wang hari ini sangat besar bagi saya."
Demikian luahan pelakon Azar Azmi yang mengakui terharu selepas menerima bantuan wang tunai RM40,000 daripada usahawan sensasi Datuk Aliff Syukri dalam satu siaran langsung.
“Sejujurnya, saya terhutang budi dan apa yang Datuk lakukan ini melebihi jangkaan saya,” katanya sebak sehingga menitiskan air mata.
Azar atau nama penuhnya Siti Azar Ameerah Azmi, 35, berkata wang tersebut akan digunakan bagi membeli keperluan anak-anak selain membantu meringankan beban kehidupannya.
Sementara itu, Aliff memaklumkan bantuan berkenaan diberikan atas dasar empati terhadap keadaan Azar yang kini berdepan kesempitan hidup.
“Saya membantu seorang wanita yang sedang mengalami kesukaran hidup hari ini.
“Dia datang kepada saya untuk memohon kerja sebagai pembungkus barang dengan gaji RM1,700.
“Namun hari ini saya bantu dia. Rakyat Malaysia juga sayang kepadanya. Ini bukan duit saya semata-mata, tetapi hasil sokongan rakyat Malaysia,” katanya.
Aliff turut menyatakan kesediaan untuk menawarkan pekerjaan kepada Azar di syarikat miliknya.
“Hari ini saya menjemput seorang wanita yang suatu ketika dahulu dikenali ramai untuk bertemu. Dia tidak pernah meminta wang daripada saya.
“Mungkin selepas ini saya akan mengambilnya bekerja sebagai kerani atau pembungkus barang di syarikat saya dengan gaji RM2,000,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang membeli produk jualannya sehingga membolehkan bantuan tersebut disalurkan.
“Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang prihatin. Kali ini anda semua membeli sambil beramal.
“Selepas ini, insya-ALLAH saya juga akan membantu pelakon Norish Karman yang dikatakan sedang sakit,” ujarnya.
Azar turut memaklumkan bahawa beliau tidak mempunyai akaun bank mahupun akaun media sosial susulan kes dakwaan penipuan sebelum ini.
Terdahulu, pelakon drama Nur 2 itu menjadi perhatian apabila dia dan suaminya, Mohd Apri Hazreen Mohd Sapri, 41, direman serta didakwa di mahkamah atas kes berkaitan.
Bagaimanapun, Azar telah dibebaskan dan dijadikan saksi pendakwaan bagi kes tersebut.
Dalam prosiding pada Mac lalu, suaminya mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam dan Majistret Nurul Saqinah Rosli.
Di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa memperdaya seorang lelaki berusia 56 tahun sehingga mangsa membuat pembayaran berjumlah RM270,811 secara dalam talian ke akaun bank milik seorang wanita berusia 35 tahun. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
