Bas ekspres bawa 26 penumpang rempuh pikap di lampu isyarat, seorang maut

Keadaan Mitsubishi Triton dinaiki mangsa selepas dilanggar bas ekspres ketika berhenti di lampu isyarat Kilometer 14, Jalan Pekan-Kuantan di sini pada Ahad. - Foto Sinar Harian
Sebuah bas ekspres yang membawa 26 penumpang telah merempuh kenderaan pacuan empat roda dinaiki tiga lelaki yang berhenti di lampu isyarat Kilometer 14, Jalan Pekan-Kuantan di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, dalam nahas kira-kira jam 1.15 pagi itu, penumpang belakang kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton itu mengalami kecederaan parah dan disahkan maut di tempat kejadian.
"Pemandu kenderaan Triton yang juga seorang anggota tentera serta seorang lagi penumpang hanya mengalami kecederaan," katanya.
Mohd Zaidi berkata, seorang penumpang bas dilapor cedera ringan manakala 25 penumpang lain termasuk dua pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan awal pagi itu berlaku ketika bas ekspres dari Johor Bahru menghala ke Kota Bahru, Kelantan, manakala kenderaan pacuan empat roda dalam perjalanan dari arah Pulau Serai di sini menghala ke Kuantan.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, semasa berhenti di lampu isyarat, Triton dipandu anggota tentera dari Markas Tentera Udara, Bahagian Sumber manusia, Kementah itu dilanggar bas terbabit dari arah belakang," katanya.
Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -- Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

