AS benarkan pembelian minyak Rusia yang terdampar di laut selama 30 hari

Seorang pelancong memerhati kapal tangki minyak MT Desert Kite yang membawa minyak Rusia di Taman Laut Narara di Laut Arab. - Foto REUTERS
Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan lesen khas selama 30 hari yang membenarkan negara‑negara membeli minyak mentah dan produk petroleum Rusia yang kini terdampar di laut, dalam usaha menstabilkan pasaran tenaga global yang bergolak akibat perang di Iran.
Langkah itu diumumkan oleh Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, menerusi kenyataan di platform X.
Menurut Bessent, lesen tersebut merupakan langkah sementara dan tidak akan memberikan manfaat kewangan besar kepada kerajaan Rusia, kerana ia terpakai hanya kepada minyak yang sudah berada dalam perjalanan sebelum 12 Mac.
Lesen itu sah sehingga 11 April, menurut dokumen yang disiarkan di laman Perbendaharaan AS.
.@POTUS is taking decisive steps to promote stability in global energy markets and working to keep prices low as we address the threat and instability posed by the terrorist Iranian regime.To increase the global reach of existing supply, @USTreasury is providing a temporary…— Treasury Secretary Scott Bessent (@SecScottBessent) March 12, 2026
Pengumuman ini dibuat hanya beberapa jam selepas harga minyak dunia melonjak melebihi AS$100 setong, paras tertinggi hampir empat tahun, berikutan gangguan bekalan akibat konflik bersenjata di Asia Barat.
Langkah ini turut menyusul tindakan Jabatan Tenaga AS yang mengumumkan pelepasan 172 juta tong minyak dari simpanan strategik negara, sebahagian daripada komitmen 400 juta tong oleh 32 negara anggota Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) untuk meredakan lonjakan harga minyak global akibat perang Iran.
Sebelum ini, AS juga memberikan pengecualian khas kepada India pada 5 Mac, membenarkan New Delhi membeli minyak Rusia yang tidak dapat berlabuh akibat laluan maritim yang terjejas.
Pengecualian untuk India itu turut digambarkan Bessent sebagai langkah kecemasan untuk mengekalkan aliran minyak global.
Serangan balas AS dan Israel ke atas Iran menjejaskan keselamatan pelayaran di Selat Hormuz, salah satu laluan terpenting minyak dan gas dunia.
Situasi ini telah menyebabkan puluhan kapal tangki terkandas, mengancam bekalan tenaga dan melonjakkan harga ke tahap yang membimbangkan.
Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) juga mengugut untuk menyekat semua penghantaran minyak dari Teluk sekiranya serangan AS dan Israel tidak dihentikan.
Dalam usaha mengekang kekacauan pasaran minyak, Presiden Donald Trump turut mengarahkan Korporasi Kewangan Pembangunan Antarabangsa AS menyediakan insurans risiko politik dan jaminan kewangan bagi perdagangan maritim di Teluk.
Beliau juga menyatakan bahawa Tentera Laut AS boleh mengiringi kapal perdagangan jika perlu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
