Bersatu perlu dibersihkan sebelum hala tuju parti dibincangkan - Penganalisis

Usaha pembersihan itu dilihat penting termasuk memberi ruang kepada legasi kepimpinan baharu menerajui parti.
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu melalui proses pembersihan terlebih dahulu sebelum hala tuju parti itu dibincangkan, menurut Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Politik, Universiti Malaya (UM), Dr. Mohammad Tawfik Yaakub.
Usaha pembersihan itu dilihat penting termasuk memberi ruang kepada legasi kepimpinan baharu menerajui parti.
“Bersatu perlu dibersihkan terlebih dahulu. Iaitu yang pertama, Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan perlu digantikan.
"Beliau ialah bapa mertua Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Faizal Azumu.
"Sejauh mana keadilan dan kesaksamaan keputusan boleh dilakukan kalau beliau ialah orang kuat Tan Sri Muhyiddin Yassin, sehingga beliau sanggup mengundur diri jawatan Timbalan Presiden dan pergi ke Naib Presiden,” kata beliau.
Senada dengan itu, Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Mazlan Ali berkata, langkah pembersihan itu perlu dilakukan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16.
“Pada pandangan saya secara peribadi, sepatutnya Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melepaskan baton kepimpinan itu.
“Walaupun kejayaan besar telah dicapai dalam PRU ke-15, tetapi tiga tahun selepas itu kita tidak nampak pencapaian Perikatan Nasional sebagai pembangkang, malah menampakkan seolah-olah pembangkang tidak menghayati konsep semak dan imbang di Parlimen. Kelemahan itu semakin ketara,” katanya.
Pandangan itu disuarakan dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Terdahulu, Hamzah yang juga bekas Ketua Pembangkang dilaporkan dipanggil untuk membantu siasatan Lembaga Disiplin Bersatu berhubung dakwaan pembabitannya dalam kekecohan ketika Perhimpunan Agung tahunan parti serta serangan terhadap presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

