China gesa siasatan menyeluruh kes bunuh diri sarjana pascakedoktoran selepas disoal siasat di AS

China amat berdukacita atas kematian yang menyayat hati itu dan mengemukakan bantahan kepada pihak AS. - Gambar hiasan
Seorang jurucakap Kementerian Luar China pada Jumaat menggesa Amerika Syarikat (AS) menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden melibatkan seorang sarjana pascakedoktoran China yang membunuh diri sehari selepas soal siasat yang bersifat keras oleh pegawai penguat kuasa undang-undang AS, lapor Xinhua.
Jurucakap Lin Jian membuat kenyataan itu dalam sidang media harian, sambil menegaskan yang China amat berdukacita atas kematian yang menyayat hati itu dan mengemukakan bantahan kepada pihak AS.
Misi diplomatik China juga segera menghubungi keluarga penyelidik berkenaan serta aktif membantu mereka dalam menguruskan perkara berkaitan.
Lin berkata AS sejak kebelakangan ini memperluas konsep keselamatan negara secara berlebihan bagi tujuan manipulasi politik serta tanpa asas kukuh menyoal siasat dan mengganggu sarjana serta pelajar China.
Tindakan ini melanggar hak dan kepentingan sah warganegara China, selain mencemarkan suasana pertukaran rakyat dan budaya antara China dan AS.
China menggesa AS untuk menjalankan siasatan penuh, memberikan penjelasan yang bertanggungjawab kepada keluarga mangsa dan pihak China, menghentikan penguatkuasaan undang-undang yang bersifat diskriminasi terhadap sarjana dan pelajar China di AS, serta menghentikan sabitan yang tidak wajar, kata Lin.
China akan terus mengambil langkah yang perlu untuk mempertahankan kepentingan dan hak sah warganegaranya, katanya.
--BERNAMA-XINHUA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

