Ekuinas labur dalam Ain Medicare

(Dari kiri) Pengarah Pelaburan, Ekuinas, Rustam Ku Azmi; Ketua Pegawai Eksekutif, Ekuinas, Aliff Omar Mohamad Omar; Pengarah Eksekutif, Ain Medicare, Datin Wan Huzaifah Wan Ariff; Pengerusi, Ain Medicare, Datuk Wan Ariff Wan Hamzah; serta Ahli Lembaga Pen
Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) melabur secara strategik dalam Ain Medicare Sdn Bhd, pengeluar produk farmaseutikal parenteral steril milik Bumiputera, bagi menyokong pertumbuhan industri farmaseutikal tempatan.
Pelaburan itu dibuat menerusi Dana Tranche IV Ekuinas bernilai RM1 bilion, sekali gus membolehkan Ekuinas memiliki pegangan saham minoriti strategik dalam syarikat berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Aliff Omar Mohamad Omar, berkata subsektor farmaseutikal merupakan antara pemacu utama industri penjagaan kesihatan bernilai tinggi serta penting dalam memperkukuh daya tahan ekonomi negara.
“Ain Medicare telah membina reputasi kukuh sebagai pengeluar tempatan terkemuka produk parenteral steril dengan rekod lebih 30 tahun, rangkaian pelanggan yang meluas serta keupayaan penyelidikan dan pembangunan yang mantap,” katanya.
Menurut beliau, industri farmaseutikal Malaysia diunjurkan berkembang sekitar 6.4 peratus setahun dan berpotensi mencecah nilai RM15 bilion menjelang 2030, didorong peningkatan permintaan penjagaan kesihatan, perubahan demografi serta pengukuhan kapasiti pembuatan domestik.
Selaras dengan agenda nasional GEAR-uP, pelaburan ini turut mencerminkan pelaksanaan strategi ‘Bumiputera Relay Race’ bagi memastikan pemilikan dan pembangunan ekuiti Bumiputera yang mampan dalam sektor strategik.
Dalam pada itu, Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif Ekuinas merangkap Timbalan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Datuk Rick Ramli, berkata sokongan institusi secara berperingkat membolehkan syarikat Bumiputera berpotensi tinggi berkembang dengan lebih pantas dan mampan dan Ain Medicare merupakan contoh jelas.
"Ain Medicare sebelum ini menerima sokongan VentureTECH dari 2017 hingga 2025 bagi meningkatkan keupayaan operasi dan kapasiti pembuatan, sebelum memasuki fasa seterusnya bersama Ekuinas," tambahnya.
Diasaskan pada 1993 dan beribu pejabat di Kota Bharu, Kelantan, Ain Medicare mengkhusus dalam pengeluaran produk parenteral steril termasuk larutan intravena, bahan suntikan isi padu kecil, larutan irigasi serta pekatan hemodialisis.
Syarikat itu mengendalikan tujuh kemudahan pembuatan di Kota Bharu dan Kulim serta memiliki pensijilan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia (MDA) dan Sistem Pengurusan Kualiti (ISO), selain pensijilan Halal JAKIM bagi produk jenamanya.
Produk Ain Medicare turut dieksport ke 17 pasaran antarabangsa, meliputi Asia Barat, Asia Pasifik, Eropah, Amerika Selatan dan Oceania.
Pengerusi Ain Medicare, Datuk Wan Ariff Wan Hamzah, berkata kerjasama strategik bersama Ekuinas memperkukuh kedudukan syarikat untuk mempercepat pelaksanaan pelan pertumbuhan, khususnya dalam pembangunan produk generik khusus dan suntikan bernilai tinggi.
Kini, Ain Medicare mempunyai hampir 1,400 pekerja, majoritinya Bumiputera, selain menyokong lebih 100 perusahaan kecil dan sederhana tempatan menerusi program pembangunan vendor.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
