Guru rempuh pelajar hingga maut akan didakwa dalam masa terdekat

Perintah tahanan reman ke atas wanita berusia 57 tahun itu bermula pada Isnin. - Gambar fail/ Bernama
Guru wanita yang direman pada Isnin bagi membantu siasatan berhubung kes seorang pelajar Tingkatan Satu maut dirempuh kereta di hadapan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas, di sini pada Ahad akan dituduh di mahkamah dalam masa terdekat.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pendakwaan itu dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Hari ini (Selasa) guru berkenaan telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas direman selama dua hari," katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Bulan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Selasa.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan guru yang dipercayai melanggar seorang pelajar Tingkatan Satu sehingga maut di hadapan surau SMK Tanjong Mas di sini pada Ahad direman selama dua hari.
Perintah tahanan reman ke atas wanita berusia 57 tahun itu bermula pada Isnin dan dikeluarkan oleh Majistret Wan Mohd I'zzat Wan Abdullah.
Tahanan reman itu bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu guru berkenaan tiba di mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan reman pada jam 8.40 lagi.
Dia yang memakai baju lokap bewarna ungu tiba di mahkamah dengan menaiki trak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pada Ahad seorang pelajar Tingkatan Satu maut selepas dipercayai dirempuh sebuah kereta ketika sedang memakai kasut di hadapan surau sekolah.
Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, mangsa, Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, 13, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

