Stesen minyak kehabisan stok kes terpencil, bekalan negara mencukupi – Anthony Loke

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, situasi tersebut berkemungkinan berpunca daripada isu logistik atau lonjakan permintaan di lokasi tertentu.
Dakwaan beberapa stesen minyak kehabisan bekalan disifatkan sebagai kes terpencil dan tidak mencerminkan kekurangan stok minyak di peringkat nasional.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, situasi tersebut berkemungkinan berpunca daripada isu logistik atau lonjakan permintaan di lokasi tertentu.
“Saya melihat perkara ini sebagai kes terpencil, bukan kerana ketiadaan bekalan secara keseluruhan. Mungkin ada isu penghantaran atau permintaan tinggi di stesen tertentu,” katanya dalam sidang media hari ini.
Menurut beliau, bekalan minyak negara kekal mencukupi seperti yang telah dijelaskan kerajaan sebelum ini.
“Ini tidak menunjukkan Malaysia kehabisan stok. Bekalan kita masih mencukupi,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, keadaan kehabisan stok di sesetengah stesen boleh berlaku apabila permintaan meningkat secara mendadak sehingga bekalan tidak sempat diisi semula.
Sehubungan itu, katanya, syarikat minyak dan pembekal perlu memastikan rantaian bekalan berjalan lancar bagi mengelakkan gangguan berulang.
Tambah beliau, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus memantau situasi berkenaan bagi memastikan tiada gangguan bekalan berpanjangan.
Terdahulu, tular di media sosial insiden meter pam merekodkan bayaran walaupun bekalan diesel telah habis, dipercayai berpunca daripada ketiadaan sistem pengesanan isipadu automatik.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

