Hakim arah henti pembinaan atas tanah dewan tari White House Trump

Projek berkenaan dikatakan melanggar Perlembagaan AS yang memperuntukkan kuasa kepada Kongres untuk mengawal penggunaan harta milik kerajaan persekutuan. - Foto REUTERS
Seorang hakim Amerika Syarikat (AS) mengarahkan pemberhentian pembinaan bahagian atas tanah projek dewan tari White House Presiden Donald Trump, namun membenarkan perancangan struktur bawah tanah diteruskan.
Hakim Persekutuan Richard Leon dalam keputusannya pada Khamis berkata projek itu memerlukan kelulusan Kongres, sambil menyatakan bahawa Trump dilihat cuba mengelak perintah mahkamah terdahulu dengan mengklasifikasikan pembinaan dewan tari sebagai keperluan keselamatan negara.
“Keselamatan negara bukan cek kosong untuk meneruskan aktiviti yang menyalahi undang-undang,” tulis Leon dalam penghakimannya.
Jabatan Kehakiman AS telah memfailkan notis rayuan terhadap keputusan itu.
Trump pula menulis di media sosial bahawa dewan tari tersebut “diperlukan sekarang” dan menegaskan “tiada hakim boleh dibenarkan menghalang” pembinaan itu.
Keputusan terbaharu ini merupakan satu lagi halangan kepada rancangan Trump selepas mahkamah menghentikan sementara projek tersebut pada akhir Mac, berikutan kegagalan mematuhi prosedur yang ditetapkan.
Tindakan undang-undang itu difailkan oleh National Trust for Historic Preservation, yang mendakwa White House melanggar undang-undang dengan memulakan pembinaan tanpa mengemukakan pelan kepada National Capital Planning Commission, gagal menjalankan penilaian alam sekitar, serta tidak mendapatkan kelulusan Kongres.
Kumpulan itu turut berhujah bahawa projek berkenaan melanggar Perlembagaan AS yang memperuntukkan kuasa kepada Kongres untuk mengawal penggunaan harta milik kerajaan persekutuan.
Dalam beberapa hantaran di Truth Social, Trump mendakwa projek itu sedang dibina mengikut bajet dan lebih awal daripada jadual, serta menuduh hakim cuba menghalang presiden masa depan dan pemimpin dunia daripada mendapatkan ruang mesyuarat berskala besar yang selamat.
Beliau berkata bahagian bawah tanah kompleks itu, yang digambarkannya sebagai sebuah “struktur sokongan”, tidak memiliki fungsi tanpa pembinaan di atas tanah.
Trump juga mendakwa kompleks berkenaan akan dilengkapi bunker perlindungan bom dan kemudahan perubatan, walaupun butiran penuh projek masih belum didedahkan.
Sayap Timur White House yang dibina pada 1902 telah dirobohkan pada Oktober lalu bagi memberi laluan kepada projek bernilai AS$400 juta, yang menurut White House dibiayai sepenuhnya oleh penderma swasta.
Pelan asal dewan tari berkapasiti 500 orang kini diperluaskan untuk menampung sehingga 1,350 tetamu.
Projek dewan tari itu merupakan antara beberapa rancangan kontroversi Trump untuk mengubah landskap Washington.
Sebuah panel persekutuan baru-baru ini turut memberi kelulusan awal kepada gerbang kemenangan setinggi 76 meter yang dicadangkan Trump, walaupun menerima bantahan meluas daripada orang awam dan kumpulan pemeliharaan warisan.
Monumen yang digelar “Arc de Trump” itu, jika diluluskan sepenuhnya, akan lebih tinggi daripada Bangunan Capitol AS dan Tugu Peringatan Lincoln, serta menampilkan patung mirip Lady Liberty.
Pelan perbelanjaan awam menunjukkan pembayar cukai AS akan turut menanggung sebahagian kos projek itu, dengan National Endowment for the Humanities memperuntukkan dana khas dan dana padanan untuk pembinaannya.
Trump sebelum ini berkata lebihan dana daripada projek ballroom yang dibiayai sepenuhnya akan digunakan bagi membiayai pembinaan gerbang berkenaan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
