Hakim Persekutuan AS arah Pentagon pulihkan akses media

Seorang hakim persekutuan Amerika Syarikat (AS) pada Khamis memutuskan bahawa Pentagon perlu memulihkan akses kepada wartawan bertauliah yang membuat liputan di Jabatan Pertahanan, lapor Xinhua.
Paul Friedman, hakim kanan Mahkamah Daerah AS bagi Daerah Columbia, membuat keputusan itu sebagai teguran keras terhadap percubaan Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth untuk menyekat akses media.
Friedman mengarahkan pegawai Pentagon untuk mengembalikan semula pentauliahan media kepada wartawan yang membuat liputan mengenai tentera AS dari bangunan tersebut.
“Jabatan itu tidak boleh sekadar memperkenalkan semula dasar yang menyalahi undang-undang dengan alasan mengambil tindakan ‘baharu’ dan mengharapkan mahkamah memejamkan mata,” tulisnya dalam keputusan itu. “Pengekangan hak di bawah Pindaan Pertama adalah berbahaya pada bila-bila masa, lebih-lebih lagi ketika perang.”
Bulan lepas, Friedman membatalkan beberapa peruntukan dalam dasar yang dikeluarkan oleh Hegseth, mendapati bahawa ia membenarkan Pentagon menggantung atau menarik balik pentauliahan wartawan berdasarkan pelaporan mereka secara tidak wajar.
-- BERNAMA-XINHUA

