awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Krisis tenaga: Pelaksanaan Biodiesel B15 penyelesaian paling praktikal - PM Anwar
IMF semak naik unjuran pertumbuhan KDNK sebenar Malaysia kepada 4.7 peratus bagi 2026
Kenaikan insentif pertanian legakan pesawah, petani - Mohamad Sabu
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

Inkues Zara Qairina: Saksi sahkan anak tidak lihat kejadian seperti didakwa

Sinar Harian
Sinar Harian
01/04/2026
11:30 MYT
Inkues Zara Qairina: Saksi sahkan anak tidak lihat kejadian seperti didakwa
Prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Koroner, Kota Kinabalu.
Saksi ke-66 iaitu ibu kepada kanak-kanak yang telah memberi kenyataan di Mahkamah Koroner pada Selasa mengesahkan bahawa anaknya tidak menyaksikan kejadian bahawa Zara Qairina Mahathir terjatuh dari bangunan asrama sekolah.
Saksi berusia 41 tahun mengesahkan perkara itu ketika ditanya peguam, Farrah Nasser semasa prosiding berlangsung pada Rabu.
"Dalam keterangan ada mengatakan anak puan beritahu bahawa rakannya iaitu arwah Zara telah terjatuh dari bangunan asrama dan meminta untuk mendoakan rakannya.
"Soalan saya, anak puan ada kata yang dia nampak dengan matanya sendiri yang arwah Zara jatuh bangunan?," soalnya pada saksi tersebut.
Saksi kemudian hanya menjawab 'tidak' selepas soalan itu dikemukakan kepadanya.
Saksi kemudian diminta oleh peguam untuk menceritakan lebih lanjut apa yang berlaku di Stadium Hoki Likas mengenai kejadian yang menimpa Zara Qairina.
"Ketika itu anak saya telah selesai pertandingan hoki dan kami mahu berangkat pulang. Anak saya peluk, salam dan tiba-tiba dia dalam keadaan menangis teresak-esak di depan tandas.
"Saya tanya kenapa dia menangis, dia hanya menjawab 'ibu doakan kawan saya, kawan saya jatuh' itu saja ayatnya. Bila saya tanya siapa, ibu doa saja kawan saya, tiada apa-apa.
"Ketika itu, tiada sesiapa berhampiran dengan kami, saya tidak kenal dan ketika itu masih ada pasukan dari sekolah lain tapi sebab kami ambil jarak yang jauh sebab kami mahu pulang, dia berjumpa adik-adiknya untuk bersalam.
Sementara itu, menjawab soalan pasukan peguam bapa Zara Qairina, saksi menyatakan bahawa mereka tidak merujuk kepada pakar berhubung keadaan anaknya susulan kejadian yang berlaku di asrama sekolah tersebut.
Nurul Rafeeqa Abdul Mutolip yang mengendalikan sesi tersebut sebelum itu bertanya kepada saksi, adakah anaknya berasa trauma berdasarkan kenyataan bertulis saksi memaklumkan perkara itu dimaklumkan kepadanya hampir tiga bulan kemudian selepas kejadian.
"Ada (trauma). Bila saya tanya kenapa baru beritahu, jawapannya dia takut. Sebelum ini pun, asal kami sebut saja Zara, dia kata 'ibu sedekahkan Al-Fatihah' sehingga sekarang begitu juga jawapannya pada saya, jadi dia masih trauma.
"Kami nampak perubahannya berlaku bila kejadian ini berlaku, dia 'shaking' macam dalam keadaan tidak selesa, emosinya pun tidak stabil, memang kami tidak sebut, kami tidak rujuk pakar berkenaan anak sebab kami cuba sendiri baik pulih emosinya.
"Jadi kami tidak bertanya, dia sendiri yang beritahu kami. Dia cakap dia takut, dia rasa bersalah. Saya tanya kenapa dia rasa bersalah, kemudian dia jawab 'kalau saya tegur dia (Zara) hari itu, kalau saya tanya bagus-bagus'.
"Dia berharap perkara itu tidak terjadi, mungkin Zara boleh berfikir baik-baik, dia cakap dia boleh pujuk, tetapi dia tidak tegur, dia tidak tanya sebab sibuk, penat latihan, dan balik tidur," katanya.
Saksi juga diminta menjelaskan bagaimana emosi anaknya semasa memaklumkan kejadian menimpa Zara Qairina.
"Semasa dia beritahu yang Zara jatuh, dia menangis sangat teruk, teresak-esak. Tetapi semasa dia bercerita di dalam kereta selepas beberapa bulan kejadian, dia bercerita dalam keadaan tenang dan dia masih juga mengatakan, 'ibu jangan lagi tanya siapa-siapa, ibu doa saja Zara'," katanya.
Sebelum itu, dalam inkues tersebut, Farrah bersama rakan sepasukannya yang terdiri daripada Shahlan Jufri, Datuk Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi dan Elhanan James mewakili ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat.
Nurul Rafeeqa pula bersama rakan sepasukannya terdiri daripada Sherzali Herza Asli dan Clarice Vyonne Conrad mewakili bapa Zara Qairina, Mahathir Mohd Hashim.
Turut terlibat dalam prosiding itu ialah Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan yang mewakili pelajar A, selain Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah dan Sylvester Kuan yang mewakili empat lagi pelajar.
Pasukan pegawai pengendali pula terdiri daripada Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Nahra Dollah bersama Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fairuz Johari, Dana Arabi Wazani, Sofia S Sawayan dan Dacia Jane Romanus dan Hakim Koroner ialah Amir Shah bin Amir Hassan.
Zara Qairina, 13, ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai tahun lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu. -Sinar Harian
Topic Berkaitan
#Zara Qairina
#inkues
#mahkamah koroner
#Kota Kinabalu
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan