Isu kilang BYD: MITI nafi syarat diskriminasi, terpakai kepada semua pelaburan automotif

“Ini merupakan syarat berorientasikan eksport bagi memastikan pelaburan menyumbang kepada imbangan dagangan Malaysia serta integrasi rantaian bekalan global. Ia bukan sekatan terhadap jumlah pengeluaran, sebaliknya langkah strategik untuk menggalakkan orientasi eksport,” kata Johari.
Pada masa sama beliau menafikan dakwaan bahawa hanya 20 peratus pengeluaran BYD boleh dijual di pasaran tempatan pada harga melebihi RM200,000.
“Dakwaan itu tidak tepat. Syarat yang dikenakan bagi pasaran domestik ialah harga atas jalan (OTR) minimum RM100,000 bagi kenderaan CKD BYD yang dijual dalam negara.
“Ini bagi memastikan pemasangan tempatan tertumpu kepada segmen bernilai lebih tinggi, di samping mengekalkan ruang pasaran untuk pemain nasional seperti Proton dan Perodua, serta terus menawarkan penyelesaian EV mampu milik,” katanya.
Berhubung dakwaan bahawa peraturan menetapkan kenderaan EV import sepenuhnya (CBU) perlu berharga melebihi RM250,000 bercanggah dengan matlamat memperluas akses EV, Johari menjelaskan harga itu merupakan kos minimum OTR standard bagi semua kenderaan penumpang import di bawah dasar Permit Import (AP) francais.
“Kami memperkenalkan kelonggaran sementara dari 2022 hingga 31 Dis 2025 bagi menggalakkan penggunaan awal EV, dengan menurunkan harga minimum OTR khusus untuk EV CBU kepada RM100,000,” katanya.
Johari turut menjelaskan tiada larangan terhadap import model baharu trak pikap.
“Kenderaan komersial termasuk trak pikap tertakluk kepada keperluan pemasangan tempatan CKD, manakala import CBU dibenarkan dengan kuota terhad di bawah Permit Import Pra-Pemasangan Penyelidikan Pasaran,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa pendekatan MITI itu bukan bersifat perlindungan, sebaliknya tertumpu kepada pembangunan.
“Malaysia juga ingin menegaskan bahawa kita kekal terbuka kepada pelaburan automotif dari China,” katanya.
Sehingga Disember 2025, daripada 34 jenama automotif asing di pasaran, sebanyak 14 merupakan jenama China termasuk BYD, Chery, Jaecoo, Jetour, Haval, Wey, MG dan Volvo.
“BYD sendiri diberikan Lesen Pengilangan interim pada 29 September 2025, manakala Chery Automobile Co Ltd turut menerima lesen pembuatan pada 26 Jun 2025, menjadikannya satu lagi pengeluar China yang mendapat kelulusan rasmi untuk mengeluarkan kenderaan tempatan.
“Kelulusan ini menunjukkan rangka kerja dasar kami bukan halangan kemasukan, sebaliknya satu kerangka bagi penyertaan pelabur asing yang bermakna dan bernilai tinggi,” kata Johari.
-- BERNAMA

