Kerajaan cadang tubuh Pusat Mediasi Malaysia, bantu B40, M40 selesaikan pertikaian dengan kos rendah

Kerajaan bercadang menubuhkan Pusat Mediasi Malaysia (MMC) sebagai inisiatif memperluas akses rakyat kepada penyelesaian pertikaian secara lebih cepat, kos efektif dan inklusif, khususnya membabitkan golongan B40 dan M40.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penubuhan MMC akan menyediakan platform alternatif kepada orang ramai untuk menyelesaikan pertikaian tanpa perlu melalui proses mahkamah yang lazimnya memakan masa serta menelan kos yang tinggi.
"Kelebihan adanya mediator ini, dia lebih murah daripada pergi ke mahkamah. Selalunya juga bayarannya tak begitu banyak.
"Mereka ini... macam dalam Islam itu dia ada sulh, maknanya pendamaian, perantaraan.
"Ini yang kita mahu galakkan. Dia tak payah pergi ke mahkamah. Jadi apa-apa isu, masalah, semua boleh kita selesaikan dalam premis ini sebelum pergi ke mahkamah.
"Kenapa kita tekankan di sini? Dalam ucapan tadi, saya sentuh tentang isu perdagangan komersial. Kita mahu wujudkan kalau kita dapat beri bantuan kepada isu-isu, kes-kes di bawah RM250,000," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan menteri sempena Persidangan Persatuan Pendidikan Undang-Undang Komanwel (CLEA) 2026 di sini, pada Jumaat.
Menurut Azalina, kerajaan turut mempertimbangkan untuk memanfaatkan kepakaran bekas hakim serta pegawai berpengalaman dalam bidang perundangan sebagai mediator.
Katanya, golongan berkenaan mempunyai kemahiran dan pengalaman sedia ada yang boleh digunakan bagi mengendalikan proses pengantaraan dengan berkesan.
“Ini bukan kemahiran baharu yang sukar kerana mereka sudah mempunyai kepakaran. Kita hanya perlu menyusun dan memperkukuhkan peranan mereka dalam sistem mediasi,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata kos mediasi juga jauh lebih rendah, dianggarkan sekitar RM300 hingga RM500 bagi satu sesi pendengaran, berbanding kos guaman yang jauh lebih tinggi.
Jadi kata beliau, inisiatif ini secara langsung boleh memperluas akses bantuan kepada peniaga kecil serta kontraktor kecil-kecilan.
"Kadang-kadang macam contohnya orang ada memberikan khidmat untuk videografi, fotografi ke, atau orang yang mahu berkahwin, dia ada pakai pengurus acara, tiba-tiba bayar 10 peratus, baki 90 peratus mereka tak nak bayar. Tiba-tiba tak puas hati dengan perkhidmatan yang dia tawar.
"Tak semua orang boleh pergi minta jumpa peguam untuk dapat nasihat dan tak semua orang boleh dapat surat amaran daripada peguam. Saya rasa 'letter of demand' itu lebih kurang RM300 hingga RM500 daripada syarikat guaman, memang mahal," jelasnya.
Dalam pada itu, mengulas cadangan pindaan Perlembagaan bagi memisahkan kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara, Azalina berkata sesi libat urus bersama badan bukan kerajaan (NGO) selesai dilaksanakan.
Beliau berkata, segala cadangan dan pandangan yang dikemukakan oleh NGO serta pertubuhan masyarakat sivil (CSO) akan dibawa ke peringkat perbincangan kedua Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat.
"Antara pandangan yang diterima termasuk cadangan untuk menambah baik draf pindaan asal.
"Saya dapat rasa banyak mempunyai kecurigaan, was-was. Tapi kita ini sebuah negara berperlembagaan.
"Banyak pelantikan jawatan-jawatan terpenting dalam negara, memang bentuk perlembagaannya atas nasihat. Itu dalam perlembagaan kita. Jadi isu yang mereka bawa seolah-olah mereka macam tak yakin pada proses pelantikan yang ada. Macam tak yakin, mungkin kepada sistem yang perlembagaan ada," katanya.
Katanya, Ahli Parlimen yang akan membahaskan dan meluluskan pindaan itu kelak mempunyai pertimbangan tersendiri, yang adakalanya berbeza dengan pandangan NGO dan CSO, memandangkan mereka juga ada pendirian serta kehendak parti masing-masing.

