Kerajaan tidak peluk tubuh hadapi krisis global, ambil langkah utamakan rakyat - PM Anwar

Anwar menerima kunjungan hormat Pengerusi National Gas Company SAOG Oman bagi memperkukuh kerjasama strategik serta meneroka peluang pelaburan baharu yang mampu menjamin kestabilan bekalan tenaga negara. - Gambar X@Anwar Ibrahim
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berpeluk tubuh dalam mendepani krisis global yang semakin kompleks.
Dalam hantaran di akaun rasmi beliau di platform X hari ini, Perdana Menteri turut menekankan bahawa setiap langkah yang dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI adalah terarah dan berpaksikan kepentingan rakyat.
Pada masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata tindakan itu juga bagi memastikan Malaysia kekal bersedia, berdaya tahan serta tidak terdedah kepada kejutan bekalan tenaga.
“Dalam keadaan geopolitik Asia Barat yang kian meruncing dan tidak menentu, Kerajaan MADANI bertindak lebih awal dan berwaspada dengan mengukuhkan jaringan kerjasama bersama rakan yang diyakini seperti Oman demi memastikan kepentingan rakyat sentiasa dilindungi,” kata beliau.
Menerima kunjungan hormat Pengerusi National Gas Company SAOG Oman bagi memperkukuh kerjasama strategik serta meneroka peluang pelaburan baharu yang mampu menjamin kestabilan bekalan tenaga negara.Dalam keadaan geopolitik Asia Barat yang kian meruncing dan tidak menentu,… pic.twitter.com/RAqBPLyGXJ— Anwar Ibrahim (@anwaribrahim) April 21, 2026
Terdahulu, Anwar menerima kunjungan hormat Pengerusi National Gas Company SAOG Oman Sh Abdulla Suleiman Hamed Al Harthy di sini hari ini, bagi memperkukuh kerjasama strategik serta meneroka peluang pelaburan baharu yang mampu menjamin kestabilan bekalan tenaga negara.
“Langkah memperluas kerjasama perdagangan minyak dan gas asli cecair ini bukan sekadar pilihan, tetapi satu keperluan strategik bagi memastikan rantaian bekalan tenaga negara kekal stabil, sekali gus mengelakkan tekanan kos yang boleh membebankan rakyat dan perniagaan,” kata Anwar.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

