awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Angin kencang: 246 penerbangan dibatalkan, lebih 3,000 penumpang terkandas di Jeju
Iran sedia bertindak balas terhadap serangan Israel ke atas Lubnan - IRGC
Amaran ribut petir, hujan lebat di KL, labuan, 11 negeri hingga 10 malam
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

Kira-kira 40,000 peminat berkumpul untuk konsert kemunculan semula BTS

Bernama
Bernama
21/03/2026
16:06 MYT
Kira-kira 40,000 peminat berkumpul untuk konsert kemunculan semula BTS
Kumpulan yang terdiri daripada tujuh anggota itu memulakan konsert di Dataran Gwanghwamun pada 8 malam, menarik kira-kira 40,000 hingga 42,000 orang ke kawasan berkenaan. - Foto BTS
Kira-kira 40,000 peminat berkumpul di pusat bandar Seoul pada Sabtu untuk menyaksikan kumpulan K-pop BTS kembali ke pentas selepas berehat selama empat tahun, menurut pihak berkuasa, sekali gus mendorong langkah keselamatan ditingkatkan, lapor Agensi Berita Yonhap.
Kumpulan yang terdiri daripada tujuh anggota itu memulakan konsert di Dataran Gwanghwamun pada 8 malam, menarik kira-kira 40,000 hingga 42,000 orang ke kawasan berkenaan, menurut polis.
Lokasi itu merangkumi kira-kira 22,000 tempat berdiri sahaja yang merentasi dari Dataran Gwanghwamun hingga ke Dewan Bandaraya Seoul. Ramai peminat turut menonton konsert melalui skrin besar yang dipasang pada bangunan berhampiran, manakala yang lain berkumpul di sekitar dataran bagi menyaksikan persembahan itu.
Langkah keselamatan diperketatkan susulan kehadiran peminat dan pengunjung dari seluruh dunia, dengan kira-kira 15,000 petugas pengurusan keselamatan dikerahkan, termasuk sekitar 6,700 anggota polis.
Kawalan trafik turut dipertingkatkan, dengan akses kenderaan ke jalan utama di dataran itu ditutup sejak Jumaat malam, manakala jalan berhampiran dihadkan dari petang Sabtu hingga 11 malam.
Operasi kereta api bawah tanah turut diselaraskan. Tren tidak berhenti di Stesen Gwanghwamun sejak 2 petang, manakala Stesen City Hall dan Stesen Gyeongbokgung di Laluan 3 tidak berhenti sejak 3 petang. Perkhidmatan akan disambung semula selepas 10 malam.
Sebagai sebahagian langkah keselamatan, pihak berkuasa mewujudkan zon kawalan orang ramai berpagar selebar 200 meter dan sepanjang 1.2 kilometer yang boleh diakses melalui 31 pintu masuk dilengkapi pengesan logam.
Polis memaklumkan individu tanpa dokumen pengenalan diri boleh diminta memberikan nombor pendaftaran penduduk atau cap jari mereka.
Pihak berkuasa turut memberi tumpuan khusus terhadap kemungkinan ancaman keganasan, dengan tahap amaran keganasan di kawasan itu dinaikkan ke tahap kedua terendah dalam sistem empat peringkat. Unit komando polis akan digerakkan untuk memantau ancaman berkenaan.
Polis turut mengehadkan pemulangan senjata api kepada pemilik berlesen pada Sabtu sebagai langkah berjaga-jaga. Korea Selatan mewajibkan semua pemilik senjata api menyimpan senjata mereka di balai polis tempatan.
Perkhidmatan loker kereta api bawah tanah di 17 stesen di seluruh Seoul turut ditutup susulan kebimbangan terhadap ancaman keganasan.
-- BERNAMA-YONHAP
Topic Berkaitan
#BTS
#kereta api bawah tanah
#konsert
#keganasan
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan