Konflik Asia Barat: 441 kandungan palsu dikenal pasti setakat 15 April - Fahmi

Sebanyak 441 kandungan palsu berkaitan krisis tenaga global telah dikenal pasti bagi tempoh 29 Mac hingga 15 April tahun ini.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata daripada jumlah itu, sebanyak 54 kertas siasatan telah dibuka, dengan 12 daripadanya telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk penelitian, manakala 42 lagi masih dalam siasatan.
“Untuk makluman semua, dari 29 Mac hingga 15 April, setakat jam 7 pagi tadi, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengenal pasti sebanyak 441 kandungan palsu berkait isu krisis tenaga global untuk diturunkan.
“Aduan rasmi telah dibuat oleh orang awam kepada MCMC dan permohonan penurunan kandungan tersebut telah dipanjangkan kepada platform-platform media sosial,” katanya dalam sidang media mingguan di Putrajaya pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata kerajaan akan mengumumkan harga baharu produk bahan api di Malaysia setiap hari Rabu bagi mengelakkan penularan maklumat tidak tepat.
“Untuk makluman, harga baharu bagi produk bahan api di Malaysia hanya diumumkan setiap hari Rabu sekitar jam 6 hingga 7 petang.
“Sebarang makluman atau sebaran yang dikesan sebelum waktu tersebut dan bukan disalurkan melalui platform rasmi Kementerian Kewangan berkemungkinan adalah palsu,” katanya.

