Konflik Asia Barat: IRGC lancar gelombang serangan ke-44

Peluru berpandu Iran kelihatan meluncur ke arah Israel, di tengah konflik AS–Israel dengan Iran, sebagaimana dilihat dari Hebron di Tebing Barat yang diduduki Israel. - Foto REUTERS
Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mengumumkan bahawa mereka telah melancarkan gelombang ke-44 serangan peluru berpandu terhadap sasaran Israel dan Amerika Syarikat (AS) di seluruh rantau, menurut laporan agensi separa rasmi Iran, Fars News.
Dalam kenyataannya, IRGC berkata mereka menembak “jumlah besar peluru berpandu” ke arah lokasi di utara wilayah yang diduduki, termasuk bandar-bandar Israel: Kiryat Shmona, Hadera dan Haifa, selain pangkalan tentera AS di rantau ini, termasuk kemudahan yang berkaitan dengan Armada Kelima Tentera Laut AS.
Laporan daripada Middle East Eye turut mengesahkan bahawa gelombang serangan ke‑44 itu dilaksanakan di bawah operasi yang dikenali sebagai 'Operation True Promise 4', melibatkan peluru berpandu jenis Khorramshahr, Kheibar Shekan, Fatah dan Emad yang menyasarkan kedudukan tentera Israel di utara dan pangkalan AS di seluruh Asia Barat.
Serangan ini berlaku ketika konflik Iran–AS–Israel memasuki fasa lebih intensif, dengan Iran sebelum ini melancarkan serangan bertubi‑tubi sebagai tindak balas terhadap siri serangan udara AS‑Israel yang menyasarkan bandar-bandar utama di Iran sejak akhir Februari.
IRGC menegaskan bahawa gelombang ke‑44 ini merupakan sebahagian daripada tindak balas berterusan untuk “menghukum musuh” dan memberi amaran bahawa serangan peluru berpandu serta dron akan diteruskan sekiranya operasi ketenteraan terhadap Iran tidak dihentikan.
Setakat ini, pihak tentera Israel dan AS masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai tahap kerosakan atau korban hasil serangan tersebut.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
