Konflik Asia Barat: Naib Presiden AS, Vance kata rundingan di Pakistan capai 'banyak kemajuan'

JD Vance berkata, rundingan dengan Iran di Pakistan mencapai “banyak kemajuan”, namun memberi amaran bahawa kegagalan membuka semula sepenuhnya Selat Hormuz boleh “mengubah secara asas” hala tuju rundingan itu. - Gambar Reuters
Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), JD Vance pada Isnin berkata, rundingan dengan Iran di Pakistan mencapai “banyak kemajuan”, namun memberi amaran bahawa kegagalan membuka semula sepenuhnya Selat Hormuz boleh “mengubah secara asas” hala tuju rundingan itu, lapor Anadolu Ajansi yang memetik Fox News.
“Saya tidak akan hanya mengatakan bahawa keadaan menjadi buruk. Saya juga fikir ada perkara yang berjalan dengan baik. Kami mencapai banyak kemajuan,” kata Vance dalam wawancara dengan Fox News.
Beliau berkata, Washington turut menjelaskan pendiriannya dalam rundingan itu, termasuk “perkara-perkara yang kami benar-benar perlu lihat supaya Presiden Amerika Syarikat merasakan beliau memperoleh perjanjian yang baik.”
“Persoalan besar selepas ini ialah sama ada pihak Iran akan mempunyai kelonggaran yang mencukupi, sama ada pihak Iran akan menerima perkara-perkara kritikal yang perlu kami lihat bagi membolehkan semua ini dimuktamadkan,” katanya.
Ketika ditanya mengenai garis merah AS, Vance menjawab: “Apa yang dikatakan Presiden Amerika Syarikat ialah, pertama: Iran tidak boleh sama sekali memiliki senjata nuklear. Jadi semua garis merah kami berpunca daripada asas itu.”
Beliau juga berkata, AS menjangkakan Iran akan terus mengambil langkah ke arah membuka semula Selat Hormuz, yang menurut beliau, penting bagi kestabilan ekonomi global.
“Jangkaan kami ialah pihak Iran akan terus mencapai kemajuan dalam membuka Selat Hormuz, dan jika mereka tidak berbuat demikian, ia akan mengubah secara asas rundingan yang kami adakan dengan mereka,” katanya.
AS dan Iran mengadakan rundingan secara langsung di Islamabad, Pakistan pada hujung minggu, namun ia berakhir tanpa sebarang perjanjian.
Rundingan itu menyusuli gencatan senjata selama dua minggu yang diumumkan awal bulan ini.
Rundingan di Pakistan menandakan penglibatan peringkat tertinggi antara AS dan Iran sejak 1979, walaupun pertikaian utama masih belum diselesaikan.
-- BERNAMA-ANADOLU
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

