Tun M dedah detik cemas sebelum dikejarkan ke IJN pada Januari

Menerusi audio siar, Podcast Dr M, beliau menjelaskan kecederaan yang dialami melibatkan bahagian sendi antara tulang kaki dan pinggang. - Gambar fail
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan bahawa insiden yang menyebabkan beliau dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) pada Januari lalu akibat kehilangan kekuatan secara tiba-tiba pada kaki kanannya ketika sedang melakukan senaman berjalan.
Menurut beliau, kejadian itu berlaku secara mengejut sehingga menyebabkan beliau terjatuh dan mengalami kecederaan.
“Ya saya sedang buat exercise (senaman) berjalan tiba-tiba satu kaki, kaki kanan saya hilang kuasa, bila dia hilang kuasa, saya jatuh bila jatuh ada fracture tulang dan joint .
“Saya juga luka sikit di kepala tapi amat sakit jadi saya dibawa ke hospital, IJN di mana mereka cuba kurangkan sakit tapi susah, susah nak kurangkan, rasa cukup sakit tapi slowly beberapa hari selepas baru kurang sakit tapi sakit masih ada lagi,” katanya.
Menerusi audio siar, Podcast Dr M, beliau menjelaskan kecederaan yang dialami melibatkan bahagian sendi antara tulang kaki dan pinggang.
“Hip joint, pinggang antara tulang kaki dengan pinggang ada joint. Joint itu retak, jadi sakitlah. Tapi sekarang ini setelah tiga bulan lalu dah sembuh, dah boleh berdiri, tapi kita tak boleh nak kawal kaki, macam tak ada kaki,” katanya lagi.
Pada 6 Januari lalu, Setiausaha Akhbar beliau, Sufi Yusoff memaklum dan mengesahkan Dr Mahathir dimasukkan ke IJN selepas dilaporkan terjatuh di kediamannya.
Ketika kejadian, pemimpin berusia 100 tahun itu dikejarkan ke IJN oleh ambulans dan dilaporkan dalam keadaan sedar.\
Seterusnya pada 10 Januari, Sufi memaklumkan proses pemulihannya dijangka berlaku dalam tempoh agak lama selepas mengambil kira faktor usia bekas Perdana Menteri itu.
Katanya, Dr Mahathir akan menjalani rawatan fisioterapi tanpa pembedahan dengan keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan doktor di IJN, Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Dr Mahathir dibenarkan dibenarkan pulang secara berperingkat dari IJN pada 6 Februari lalu selepas pasukan perubatan di sanaberpuas hati dengan tahap kemajuan pemulihan kesihatan serta tindak balasnya terhadap langkah-langkah perubatan dan fisioterapi.
Tambah Sufi, walaupun dibenar pulang ke rumah secara berperingkat, beliau tetap berada dalam pemantauan pasukan perubatan IJN.
Beliau dilaporkan kembali bekerja pada 25 Mac lalu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

