Konflik Asia Barat: Suku kaum Iran cari juruterbang jet pejuang Amerika yang hilang di kawasan terpencil

Anggota suku kaum nomad Bakhtiari menjejaki kru Amerika itu di kawasan pergunungan wilayah Khuzestan, Iran.
Sekumpulan anggota suku kaum Iran melepaskan tembakan ke arah helikopter Amerika Syarikat (AS) yang sedang mencari seorang kru yang hilang selepas sebuah pesawat pejuang ditembak jatuh di ruang udara Iran, lapor media kerajaan pada Sabtu.
Di kawasan pergunungan terpencil di wilayah Kohgiluyeh dan Boyer-Ahmad serta kawasan Bakhtiari, anggota suku kaum telah menembak ke arah dua helikopter Black Hawk, menurut laporan Agensi Berita separuh rasmi Iran, Fars.
Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) memuji tindakan suku kaum tersebut kerana berkhidmat sebagai “penjaga sempadan yang berani, gagah dan berjaya,” menurut Fars.
Fars menyiarkan satu video pada Jumaat yang didakwa memaparkan anggota suku kaum nomad Bakhtiari, bersenjata raifal, sedang menjejaki kru Amerika itu di kawasan pergunungan wilayah Khuzestan, Iran.
“Dengan izin Tuhan, dia akan ditemui,” kata salah seorang lelaki dalam video tersebut.
Pegawai Iran juga telah menawarkan ganjaran wang tunai yang besar bagi penangkapan kru yang hilang itu.
CNN telah menghubungi Komando Pusat Amerika Syarikat (US Central Command) bagi mendapatkan maklum balas mengenai laporan helikopter AS yang diserang.
IRGC turut mempamerkan sistem pertahanan udara baharu yang didakwanya digunakan untuk menembak jatuh sebuah jet pada Jumaat serta menyasarkan dua helikopter Black Hawk tersebut.
Dalam satu video yang dikeluarkan oleh Agensi Berita Tasnim, yang berkaitan dengan IRGC, jurucakap Markas Pusat Khatam al-Anbiya memberi amaran mengenai serangan lanjut menggunakan sistem baharu itu.
“Kami pasti akan mencapai kawalan penuh ke atas ruang udara negara kami dan akan membuktikan kehinaan musuh kepada dunia dengan lebih jelas daripada sebelumnya,” katanya. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
