Konflik Asia Barat: Umat Islam dinasihat tangguh perjalanan umrah - Mufti

Umat Islam di negara ini diingatkan supaya sentiasa peka dan merujuk kepada maklumat rasmi daripada pihak berautoriti mengenai keadaan semasa di Asia Barat. - Gambar/ Reuters
Umat Islam dinasihatkan supaya menangguhkan perjalanan ke kawasan berpotensi terjejas akibat situasi keselamatan yang tidak menentu di beberapa kawasan Asia Barat sehingga keadaan kembali stabil dan selamat.
Mufti Wilayah Persekutuan Ahmad Fauwaz Fadzil berkata keputusan itu adalah satu langkah yang selari dengan prinsip syariah dalam menjaga nyawa (hifz al-nafs) sekiranya keadaan keselamatan didapati tidak terjamin.
Beliau menerusi penjelasan yang dimuat naik di laman sesawang rasmi Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan berkata setiap keputusan yang diambil oleh pemerintah atau pihak berkuasa hendaklah berpaksikan kepada kepentingan serta kesejahteraan masyarakat.
“Justeru, sekiranya pihak berkuasa memutuskan perjalanan ke Tanah Suci masih berada dalam keadaan selamat dan terkawal, maka umat Islam boleh meneruskan ibadah umrah atau haji seperti biasa.
“Sebaliknya, sekiranya keadaan keselamatan didapati tidak terjamin, maka penangguhan perjalanan itu adalah satu langkah yang selari dengan prinsip syariah dalam menjaga nyawa (hifz al-nafs),” katanya.
Ahmad Fauwaz turut menyeru umat Islam di negara ini supaya sentiasa peka dan merujuk kepada maklumat rasmi daripada pihak berautoriti, khususnya Kementerian Luar yang bertanggungjawab memantau perkembangan keselamatan antarabangsa serta mengeluarkan nasihat perjalanan kepada rakyat Malaysia.
Beliau berkata penilaian semula terhadap syarat istita’ah (kemampuan) yang merangkumi jaminan keselamatan nyawa dan harta benda kini menjadi keperluan mendesak, susulan ketegangan konflik antara Amerika Syarikat (AS)-Israel dengan Iran.
“Justeru, sekiranya keadaan perjalanan tidak lagi selamat atau terdapat ancaman yang boleh memudaratkan nyawa, maka syarat kemampuan bagi menunaikan ibadah itu dianggap tidak sempurna,” katanya.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum ini menasihatkan rakyat Malaysia supaya menangguhkan sementara rancangan menunaikan umrah berikutan keadaan keselamatan di Asia Barat yang masih tidak menentu.
Mohamad berkata konflik yang berlaku boleh berubah pada bila-bila masa dan kerajaan tidak mahu mengambil risiko terhadap keselamatan rakyat Malaysia.
Sejak beberapa hari lepas, kerajaan sudah memulakan proses evakuasi rakyat Malaysia dari beberapa negara Asia Barat susulan peperangan antara AS-Israel dan Iran yang masih berlanjutan sehingga kini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

