Kru Artemis II kembali ke bumi selepas rekod baharu

Kru Artemis II bersiap sedia untuk pemisahan modul Integrity kapsul angkasa Orion dalam rakaman skrin daripada siaran langsung ketika misi itu membuat persiapan bagi kemasukan semula ke bumi. - Foto NASA/Handout via REUTERS
Misi Artemis II yang bersejarah dijadual berakhir apabila empat angkasawan NASA dan Kanada bersiap sedia untuk mendarat di Lautan Pasifik, sekali gus menutup tirai pelayaran yang menyaksikan manusia bergerak lebih jauh dari bumi berbanding mana-mana misi berawak sebelum ini.
Kapsul angkasa Orion, yang membawa Komander Reid Wiseman, Juruterbang Victor Glover dan Pakar Misi Christina Koch dari NASA serta Pakar Misi Jeremy Hansen dari Agensi Angkasa Kanada, dijangka melakukan pendaratan air berhampiran pantai San Diego selepas kemasukan semula berkelajuan tinggi ke atmosfera bumi.
Sepanjang misi selama kira-kira 10 hari itu, kru Artemis II berjaya mencipta rekod baharu apabila mencapai jarak maksimum sekitar 406,700 kilometer dari bumi, mengatasi rekod lama yang dipegang oleh misi Apollo 13 pada tahun 1970.
NASA sebelum ini memaklumkan bahawa pencapaian tersebut berlaku ketika Orion melakukan lintasan di bahagian jauh bulan, memberikan kru peluang menyaksikan pandangan unik termasuk gerhana matahari dan imej “Earthset”, iaitu pemandangan bumi terbenam di sebalik ufuk bulan.
Fasa kemasukan semula menjadi bahagian paling kritikal misi ini.
Kapsul Orion dijangka memasuki atmosfera pada kelajuan sekitar 38,600 kilometer sejam, dengan pelindung haba perlu menahan suhu mencecah hampir 2,760 darjah Celsius sebelum payung terjun dibuka untuk memperlahankan kapsul menjelang pendaratan air.
Pasukan pemulihan Tentera Laut Amerika Syarikat telah ditempatkan berhampiran lokasi pendaratan untuk membawa kapsul serta kru ke atas kapal bagi pemeriksaan perubatan awal sebelum mereka diterbangkan ke Pusat Angkasa Johnson di Houston, Texas.
Artemis II merupakan misi berawak pertama NASA ke arah bulan sejak lebih lima dekad, dan menjadi langkah penting dalam program Artemis yang bertujuan membawa manusia kembali ke permukaan bulan serta mewujudkan kehadiran jangka panjang di sana sebagai persediaan untuk misi ke Marikh pada masa hadapan.
NASA menyifatkan kejayaan misi ini sebagai pencapaian besar dalam penerokaan angkasa lepas, bukan sahaja dari segi rekod jarak, tetapi juga ujian kritikal terhadap sistem kapal angkasa, sokongan hayat dan prosedur penerbangan yang akan digunakan untuk misi berawak seterusnya ke bulan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
