Mindef jamin tidak kompromi pihak terlibat kematian anggota Tentera Darat

Muhammad Amirul Raziq, 24, meninggal dunia pagi tadi.
Kementerian Pertahanan (Mindef) memberi jaminan menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam insiden kematian anggota Tentera Darat (TDM) Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi, hari ini.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pihaknya memandang serius insiden berkenaan dan memberi jaminan bahawa keadilan akan ditegakkan mengikut lunas undang-undang.
Beliau berkata sebarang bentuk keganasan, salah laku atau pelanggaran disiplin tidak mencerminkan nilai, integriti serta profesionalisme yang dijunjung oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Kes kini dalam proses perundangan dan akan ditentukan sepenuhnya oleh mahkamah mengikut lunas undang-undang. Kementerian akan memastikan keadilan ditegakkan sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata ATM turut diarahkan memperkukuh disiplin dan integriti pasukan melalui tindakan tegas bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang.
Mohamed Khaled turut menzahirkan rasa dukacita dan mengucapkan salam takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Muhammad Amirul Raziq.
"Semoga diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat yang amat sukar ini. Sama-sama kita doakan agar Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya.
Allahyarham Muhammad Amirul Raziq, 24, sebelum ini dilaporkan tidak sedarkan diri dan menerima rawatan rapi di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, Pahang berikutan kecederaan parah yang dialami susulan insiden pukul di Kem Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Bentong.
Mangsa disahkan meninggal dunia pagi tadi.
Insiden itu dipercayai berpunca daripada tindakan seorang anggota berpangkat koperal yang bertindak menggunakan kekerasan akibat tidak berpuas hati berhubung kerja pembersihan stor senjata pada 31 Mac.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

