Lelaki 13 rekod lampau ditahan kes curi dalam kuil

Polis menahan seorang lelaki tempatan dipercayai terbabit dalam kes kecurian di Kuil Sri Kamatchi Amman, di sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 6.55 petang.
Menurutnya, antara barangan yang dilaporkan hilang dalam kejadian itu termasuk arca gangsa, gada diperbuat daripada perak tulen bersalut emas serta lampu pelita gantung daripada gangsa.
"Nilai kerugian dianggarkan kira-kira RM30,000,” katanya dalam kenyataan, di sini pada Ahad.
Menurut Mohd Rosdi, bertindak atas laporan itu, sepasukan anggota polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 32 tahun di kawasan Taman Maluri, Cheras.
Katanya, polis turut merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan suspek ketika melakukan jenayah berkenaan.
"Hasil semakan mendapati suspek mempunyai 13 rekod lampau membabitkan kes jenayah dan narkotik.
"Ujian saringan awal air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya.
Beliau berkata, suspek direman selama tujuh hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana melakukan kecurian dalam bangunan.
