Masjid Al-Aqsa dibuka semula untuk solat Jumaat selepas 40 hari ditutup

Pihak berkuasa Israel menutup kedua-dua tapak sejak 28 Feb atas alasan langkah keselamatan semasa perang AS-Israel terhadap Iran. - Gambar Reuters
Ribuan jemaah Palestin berkumpul di Masjid Al-Aqsa untuk solat Jumaat selepas lebih lima minggu masjid itu ditutup, lapor Anadolu Ajansi.
Israel mengumumkan pada Rabu akan membuka semula Masjid Al-Aqsa dan Gereja Makam Suci di Baitulmaqdis Timur yang diduduki mulai pagi Khamis, membenarkan akses buat kali pertama dalam 40 hari berikutan sekatan yang dikenakan semasa perang Amerika Syarikat (AS)-Israel ke atas Iran.
Orang ramai mula tiba pada awal pagi, memenuhi halaman masjid dengan lelaki, wanita, kanak-kanak dan jemaah warga emas sebagai cerminan keghairahan rakyat Palestin untuk memasuki Al-Aqsa setelah sekian lama.
Semasa penutupan itu, rakyat Palestin dilarang menunaikan solat harian termasuk solat Jumaat lima kali berturut-turut pada 6, 13, 20, dan 27 Mac serta 3 April. Ibadah dibenarkan semula pada Jumaat keenam, 10 April.
Pihak berkuasa Israel menutup kedua-dua tapak sejak 28 Feb atas alasan langkah keselamatan semasa perang AS-Israel terhadap Iran.
Mereka juga menghalang solat Aidilfitri diadakan di Al-Aqsa tahun ini buat kali pertama sejak Israel menduduki Baitulmaqdis Timur pada 1967.
-- BERNAMA-ANADOLU
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

