Menteri kecewa, berang hampir setiap minggu gangguan perkhidmatan tren

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kekerapan gangguan sejak kebelakangan ini menimbulkan ketidakpuasan hati pengguna.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, meluahkan rasa kecewa dengan kekerapan gangguan perkhidmatan rel kendalian Prasarana Malaysia Berhad, yang boleh menjejaskan keyakinan pengguna terhadap sistem pengangkutan awam.
Beliau berkata, kekerapan gangguan sejak kebelakangan ini menimbulkan ketidakpuasan hati pengguna.
Menurut beliau, situasi tersebut amat mengecewakan lebih-lebih lagi ketika kerajaan sedang menggalakkan orang ramai beralih kepada penggunaan pengangkutan awam.
“Saya sendiri berasa berang apabila hampir setiap minggu berlaku gangguan. Apabila kita galakkan orang ramai menggunakan tren, sudah tentu timbul persoalan apabila perkhidmatan sering terganggu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Sidang Media Berhubung Kempen Penggunaan Rel Bagi Menangani Peningkatan Kos Bahan Api di Putrajaya pada Selasa.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan gangguan berkenaan berpunca daripada isu teknikal yang sedang diberi perhatian serius oleh pihak berkaitan.
“Gangguan ini bukan sesuatu yang kita mahukan dan ia melibatkan masalah teknikal yang sedang ditangani,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan pihaknya telah mengarahkan Prasarana untuk mempertingkatkan aspek penyelenggaraan serta pemantauan teknikal bagi mengurangkan insiden gangguan.
Menurutnya, selain usaha penambahbaikan yang sedang dilaksanakan, terdapat juga faktor luar jangka seperti kerosakan suis dan sistem isyarat yang boleh menjejaskan operasi tren.
“Kadangkala berlaku kerosakan pada suis atau sistem isyarat yang menyebabkan stesen tidak dapat berfungsi dengan baik, sekali gus mengganggu perkhidmatan,” katanya.
Tambah beliau, perkara itu merupakan cabaran besar yang perlu ditangani secara berterusan bagi memastikan perkhidmatan rel lebih stabil dan diyakini pengguna.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

