MINDEF lancar Program Ikhtiar Autisme-ATM, perkasa sokongan kepada anak tentera

Adly menyantuni anak-anak autisme ketika merasmikan Program IA-ATM di PPDK Lautan Kasih Pangkalan TLDM hari ini. - Gambar Bernama
Kementerian Pertahanan (MINDEF) melancarkan Program Ikhtiar Autisme Angkatan Tentera Malaysia (IA-ATM) sebagai inisiatif bagi memperkasakan sokongan terhadap kanak-kanak autistik dalam kalangan anak warga angkatan tentera.
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata sebagai permulaan, IA-ATM dilaksanakan di dua lokasi, Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Lautan Kasih Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut dan PPDK Kem Terendak, Melaka melibatkan 20 kanak-kanak.
Beliau berkata program ini sebahagian daripada keperluan di peringkat MINDEF melalui Kertas Putih Pertahanan berhubung tanggungjawab menjaga kesejahteraan anggota, dan dalam konteks ini membabitkan ahli keluarga mereka.
“Latihan terapi (dalam program IA-ATM) kepada anak-anak autistik ini amat penting, memandangkan aspek kebajikan mereka perlu diberi perhatian kerana ia turut mempengaruhi mutu perkhidmatan anggota pertahanan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Program IA-ATM di PPDK Lautan Kasih Pangkalan TLDM Lumut di sini hari ini.
Turut hadir Panglima Armada Barat Laksamana Madya Datuk Baharudin Wan Md Nor, Timbalan Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (Takspa) ATM Brig Jen Mohd Sam Mohd Yusof dan Komander Pangkalan Lumut Laksamana Pertama Jamaludin Sairi.
Adly berkata program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM), manakala pembiayaan disokong oleh Kumpulan Tabung Haji (TH) sebagai sebahagian program tanggungjawab sosial korporat.
“Keseluruhannya terdapat sekitar 55 anak-anak yang terlibat, cuma buat masa ini kita beri tumpuan kepada 20 kanak-kanak yang dipilih oleh NASOM dan juga PPDK itu sendiri,” katanya.
Program IA-ATM memfokuskan kanak-kanak autistik berusia tiga hingga 15 tahun dalam kalangan anak warga pertahanan, khususnya yang tinggal di kem-kem ATM.
Antara objektif utama program ialah mendapatkan input ibu bapa dan guru berkaitan keperluan kebajikan serta kesejahteraan kanak-kanak autistik, selain meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap tanggungjawab sosial kepada golongan itu.
Program IA-ATM dilaksanakan di PPDK Lautan Kasih Pangkalan TLDM Lumut bermula 14 Julai 2025 hingga 7 Mei 2026 dan PPDK Umi Kem Terendak, Melaka bermula 4 Ogos 2025 hingga 4 Jun 2026.
Sebanyak 10 kanak-kanak autistik di setiap PPDK menjalani sesi Pelajaran-Terapi merangkumi 12 modul baharu yang direka khusus oleh NASOM bagi program tersebut.
Hadir sama pada majlis itu, Ketua Syariah Kumpulan TH Imran Mohamad Khayat dan Penaung NASOM Datuk Megat Ahmad Shahrani Megat Sharuddin.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

