MOTAC mulakan konsultasi dengan MoF tangani kesan kenaikan diesel - Tiong

“Sekiranya tidak ditangani dengan baik, keadaan ini boleh memberi kesan berantai kepada pelancongan masuk, perniagaan serta kestabilan keseluruhan ekosistem pelancongan,” katanya.
Tiong berkata sektor pengangkutan pelancongan merupakan tonggak penting dalam industri pelancongan negara dan perlu diperkukuh dari segi piawaian keselamatan, prestasi kenderaan serta mutu perkhidmatan kepada pelawat.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan akan mengambil pendekatan “menstabilkan dan menaik taraf” sektor berkenaan bagi membantu pengusaha menghadapi cabaran semasa, selain menggalakkan penambahbaikan secara berperingkat termasuk pembaharuan kenderaan, sokongan kewangan yang bersesuaian serta penambahbaikan rangka kerja pengawalseliaan.
Menurut Tiong sebarang bentuk sokongan yang diperkenalkan akan dirangka dengan mengambil kira pembangunan jangka panjang industri, bukan sekadar penyelesaian sementara.
“Objektif kerajaan bukan sekadar untuk meredakan kesan langsung yang dihadapi, tetapi untuk membina sistem pengangkutan pelancongan yang lebih berdaya tahan dan berdaya saing,” katanya.
Pada masa sama, beliau menggesa pemain industri supaya terus berhubung rapat dengan kerajaan serta terlibat dalam dialog secara rasional bagi memastikan kestabilan sektor tersebut selain menyokong kejayaan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Tiong turut berharap semua pihak kekal tenang dan bertindak secara berhemah, sambil menegaskan kerajaan akan berusaha menyeimbangkan pelbagai kepentingan terlibat dalam mencari penyelesaian munasabah serta pelaksanaan yang sesuai.
-- BERNAMA

