Perbicaraan baharu dibuka dalam kes kematian Maradona

Perbicaraan kedua yang melibatkan pasukan perubatan legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona, bermula pada Selasa, lima setengah tahun selepas kematiannya. - Gambar fail
Perbicaraan kedua yang melibatkan pasukan perubatan legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona, bermula pada Selasa, lima setengah tahun selepas kematiannya, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Tujuh doktor dan penjaga hadir di mahkamah di San Isidro, utara Buenos Aires.
Prosiding dijangka berlangsung selama beberapa bulan.
Dua hari perbicaraan setiap minggu dijadualkan pada peringkat awal dan kira-kira 90 saksi akan dipanggil memberi keterangan.
Pendakwa raya menuduh doktor peribadi Maradona, Leopoldo Luque; pakar psikiatrinya, Agustina Cosachov; seorang ahli psikologi; seorang lagi doktor; penyelaras perubatan syarikat insurans kesihatan; serta dua penjaga atas tuduhan membunuh tanpa niat. Kesemua tertuduh menafikan dakwaan itu.
Jika disabitkan kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara sehingga 25 tahun.
Satu perbicaraan berasingan turut diadakan terhadap seorang lagi jururawat.
Maradona meninggal dunia akibat serangan jantung pada 25 November 2020 pada usia 60 tahun di sebuah kompleks kediaman persendirian.
Beberapa minggu sebelum itu, beliau menjalani pembedahan otak.
Penyiasat percaya yang kesilapan serius berlaku dalam penjagaan di rumah terhadap juara Piala Dunia1986 FIFA itu.
Kes itu terpaksa dimulakan semula selepas perbicaraan pertama dibatalkan pada Mei tahun lepas, selepas berlangsung selama 21 hari.
Prosiding dihentikan selepas seorang hakim daripada panel tiga hakim digantung tugas susulan penglibatannya dalam sebuah dokumentari tanpa kebenaran mengenai perbicaraan berkenaan.
-- BERNAMA-dpa
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

