NADMA komited laksana pembenihan awan pastikan paras empangan selamat

Kejayaan OPA bergantung pada tiga faktor utama atmosfera, iaitu kewujudan awan kumulus menara, tiupan angin lemah dari pelbagai arah dan tahap kelembapan udara yang tinggi. - Foto fail/BERNAMA
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersedia melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di seluruh negara berdasarkan permohonan kerajaan negeri dalam usaha memastikan paras air empangan kekal stabil susulan cuaca panas ketika ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) NADMA Datuk Abdul Gapar Abu Bakar berkata setiap permohonan yang dikemukakan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) akan dinilai secara menyeluruh sebelum operasi dilaksanakan.
“Kita akan mempertimbangkan setiap permohonan, contoh jika negeri Perlis mengemukakan permohonan dan pada masa sama, Kedah turut berdepan isu sama, jadi kita akan laksanakan sekali gus. Biasanya, jika ada saja permohonan kita akan laksanakan,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata demikian ketika menyertai penerbangan OPA bagi kawasan Melaka dan Johor menggunakan pesawat C130-Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), semalam.
Penerbangan itu turut disertai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Ambun Dindang dan wakil Bernama, sebagai sebahagian daripada OPA melibatkan empat negeri, iaitu Perlis, Kedah, Perak dan Johor yang bermula pada Isnin lepas.
Abdul Gapar berkata sejak tiga tahun lepas, NADMA bersama-sama agensi berkaitan temasuk MetMalaysia, TUDM, Jabatan Kerja Raya serta Jabatan Pengairan dan Saliran telah melaksanakan 21 siri OPA di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, 11 operasi dilaksanakan pada 2024, satu operasi pada 2025 dan sembilan operasi pada tahun ini melibatkan beberapa empangan utama antaranya Empangan Bukit Merah di Perak, Empangan Muda (Kedah), Empangan Machap (Johor) dan Empangan Timah Tasoh (Perlis).
“Alhamdulillah, saya boleh katakan menerusi setiap operasi yang kita laksanakan, hujan berjaya dihasilkan dan membantu meningkatkan paras air empangan kembali normal,” katanya.
Bagi operasi seterusnya pada tahun ini, beliau berkata NADMA menerima maklumat awal tentang keperluan pelaksanaan OPA di Sabah dan Sarawak susulan beberapa kawasan di wilayah itu mula mengalami cuaca kering.
Abdul Gapar berkata keadaan cuaca panas dan kering dijangka berlarutan hingga Mei atau Jun ini, susulan peralihan daripada Monsun Timur Laut yang berakhir pada Mac lepas kepada Monsun Barat Daya.
Sementara itu, Ambun berkata kejayaan OPA bergantung pada tiga faktor utama atmosfera, iaitu kewujudan awan kumulus menara, tiupan angin lemah dari pelbagai arah dan tahap kelembapan udara yang tinggi.
“Paling utama ialah keberadaan ataupun kewujudan awan kumulus menara kerana kita akan semburkan dengan larutan garam ke dalam awan itu dan diharapkan menjadi awan hujan yang boleh membuat penurunan hujan di kawasan empangan,” katanya.
Beliau berkata OPA menggunakan teknik semburan air garam yang disediakan di dalam empat tangki dengan kapasiti keseluruhan 6,000 liter dan proses operasi mengambil masa antara lapan hingga sembilan jam bermula dengan penyediaan larutan, taklimat kru, penerbangan ke lokasi sasaran dan semburan pada ketinggian antara 5,200 hingga 7,000 kaki.
Katanya, kesan pembentukan titisan air di dalam awan boleh dilihat seawal setengah hingga satu jam selepas semburan dan dijangka turun sebagai hujan dalam tempoh satu hingga dua jam kemudian dengan tahap keberhasilan mencapai 80 peratus.
Bagaimanapun, Ambun mengakui operasi itu berdepan dengan cabaran besar, terutamanya dalam mengenal pasti awan yang sesuai ketika cuaca panas, selain perubahan arah angin secara mendadak yang boleh menyebabkan hujan tersasar dari kawasan sasaran.
Beliau turut menangkis kekeliruan berhubung penggunaan bahan kimia berbahaya dalam operasi berkenaan dengan menegaskan bahawa operasi itu sekadar meniru proses pemeluwapan molekul garam secara semula jadi dari laut ke darat dan hanya menggunakan larutan garam biasa.
“Kita cuma nak menambahkan larutan garam itu supaya hujan lebih cepat dan turun di kawasan sasaran. Itu sahaja. Ia tidak berbahaya kerana garam yang kita gunakan ialah garam yang kita makan setiap hari,” katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

