NIMP 2030 pacu daya tahan bekalan ubat depani cabaran global

- Gambar hiasan
Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dilihat sebagai antara langkah strategik kerajaan untuk memperkukuh daya tahan sektor farmaseutikal negara, khususnya dalam menjamin keselamatan bekalan ubat dan mengurangkan kebergantungan kepada import.
Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) Prof Amrahi Buang berkata, NIMP 2030 secara jelas menyasarkan sektor farmaseutikal sebagai industri berimpak tinggi yang perlu diperkasa bagi memastikan kelangsungan sistem kesihatan negara, terutama ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan global.
Menurut beliau, antara tumpuan utama pelan tersebut adalah untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran tempatan serta membina sektor farmaseutikal yang lebih berdaya tahan dalam menghadapi krisis, seperti konflik di Asia Barat dan gangguan logistik antarabangsa yang memberi kesan langsung kepada bekalan ubat.
“NIMP 2030 adalah satu tindakan dasar yang penting oleh kerajaan. Ia memberi hala tuju yang jelas untuk menjadikan sektor farmaseutikal negara lebih berdaya tahan dan tidak terlalu bergantung kepada sumber luar,” katanya dalam temu bual program Niaga AWANI hari ini.
Selain NIMP 2030, kerajaan turut memperkenalkan inisiatif Program Perjanjian Off-Take Plus (PPO Plus) yang bertujuan menjamin pembelian ubat keluaran pengilang tempatan bagi tempoh tertentu.
Prof Amrahi menjelaskan, jaminan ini penting untuk memberi keyakinan kepada pelabur dan syarikat farmaseutikal tempatan untuk melabur dalam fasiliti pembuatan baharu serta menaik taraf teknologi sedia ada.
“Melalui PPO+, pengilang tempatan mempunyai jaminan pasaran yang menggalakkan pelaburan dalam fasiliti pembuatan ubat di dalam negara, sekali gus meningkatkan kapasiti dan keupayaan pengeluaran tempatan,” jelasnya.
Tambah beliau, mekanisme seperti ini amat kritikal kerana industri farmaseutikal memerlukan modal yang tinggi serta perancangan jangka panjang sebelum sesebuah kemudahan pengeluaran dapat beroperasi sepenuhnya.
Dalam masa sama, Malaysia juga sedang memperkukuh kerjasama antarabangsa dengan pengeluar bahan farmaseutikal aktif atau pengeluar bahan farmaseutikal aktif (API), selain menarik syarikat farmaseutikal multinasional untuk membina kilang pembuatan di dalam negara.
Langkah ini, menurut Prof Amrahi, bukan sahaja berpotensi memindahkan teknologi dan kepakaran, malah dapat menghubungkan Malaysia kepada rantaian bekalan global yang lebih stabil dan pelbagai.
“Malaysia berada pada kedudukan strategik. Kita sedang menarik syarikat antarabangsa untuk menjadikan negara ini sebagai hab pembuatan, bukan hanya untuk pasaran domestik tetapi juga untuk pasaran serantau,” ujarnya.
Lebih menarik, katanya, Malaysia turut memposisikan diri untuk menerajui agenda Keterjaminan dan Kemandirian Ubat-Ubatan ASEAN (ADSSR), khususnya dalam konteks ASEAN.
Inisiatif ini bertujuan memastikan keselamatan bekalan ubat di peringkat serantau melalui kerjasama antara negara anggota, termasuk perkongsian kapasiti pengeluaran dan maklumat rantaian bekalan.
“Aspirasi ini penting kerana isu bekalan ubat bukan boleh diselesaikan secara bersendirian. Pendekatan serantau memberi kekuatan kolektif, terutama ketika berlaku gangguan global,” jelas beliau.
Mengulas keupayaan sedia ada, Prof Amrahi berpandangan bahawa Malaysia telah berjaya membina asas yang kukuh dalam pembuatan ubat generik, dengan beberapa pengeluar tempatan berupaya memenuhi piawaian antarabangsa.
Namun, beliau menegaskan bahawa cabaran utama untuk mencapai tahap kemadirian sebenar terletak pada pembangunan keupayaan tempatan untuk menghasilkan API sendiri.
“Selagi kita masih bergantung kepada bahan mentah dan API dari luar negara, selagi itu kita terdedah kepada risiko gangguan bekalan,” katanya.
Keadaan ini menjadi lebih ketara dalam konteks konflik di Asia Barat serta gangguan rantaian bekalan global yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sekali gus memberi tekanan kepada harga, masa penghantaran dan kestabilan bekalan ubat.
Justeru, beliau menegaskan pembangunan industri API tempatan perlu diberi perhatian serius dan dilihat sebagai agenda strategik negara, bukan sekadar isu industri semata-mata.
“Ini adalah isu yang perlu kita atasi secara menyeluruh. Soal keselamatan bekalan ubat berkait rapat dengan keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

