Pasar Terapung Khlong Hae kembali rancak susulan kehadiran pelancong Malaysia

Peniaga dan pengusaha pelancongan masih terbayang-bayang cabaran yang dihadapi ketika bencana banjir besar melanda wilayah itu tahun lalu. - Bernama
Suasana lengang bersama selut yang meliputi Pasar Terapung Khlong Hae akibat banjir besar yang melanda wilayah ini tahun lepas, kini bertukar dengan aroma masakan segar dan hiruk-piruk tawar-menawar, menandakan kawasan tumpuan pelancong yang menjadi sumber ekonomi setempat itu bernafas kembali.
Namun di sebalik kemeriahan itu, tersimpan kisah kedukaan dan ketabahan para peniaga yang kehilangan segala-galanya apabila banjir besar melanda pada November tahun lepas.
Peniaga makanan tradisional, Abdul Rahman Ismail, 52, masih ingat dengan jelas bagaimana air bah naik secara mendadak tanpa amaran, menenggelamkan bot serta merosakkan peralatan memasak dan bahan mentah miliknya.
“Air naik terlalu cepat, kami tidak sempat selamatkan apa-apa. Hampir semua barang rosak dan kami terpaksa menutup perniagaan untuk tempoh yang agak lama,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata kejadian itu menyebabkan punca pendapatannya terputus buat seketika, selain terpaksa menanggung kos membaik pulih bot serta menggantikan peralatan yang rosak.
“Tempoh itu adalah saat paling mencabar buat saya sepanjang lebih sedekad berniaga di pasar ini,” katanya.
Pengalaman pahit itu turut dikongsi peniaga minuman, Siti Mariam Yusof, 45, yang hampir berputus asa selepas mengalami kerugian besar.
Menurutnya, beberapa hari selepas banjir surut, kawasan pasar masih diselaputi lumpur dan sisa runtuhan, sekali gus menyukarkan usaha pembersihan.
Bagaimanapun, semangat untuk bangkit mendorong beliau dan peniaga lain bekerjasama membersihkan pasar serta membaiki kemudahan yang rosak.
Usaha pemulihan itu dilakukan secara berperingkat dengan sokongan komuniti setempat yang turut tampil membantu memulihkan kawasan perniagaan itu.
Siti Mariam berkata, kerjasama erat dalam kalangan peniaga menjadi faktor utama yang mempercepatkan proses pemulihan pasar berkenaan.
“Walaupun letih, kami saling membantu. Sedikit demi sedikit, pasar ini kembali seperti sedia kala,” katanya sambil menambah bahawa usaha pemulihan masih diteruskan sehingga kini.
Pasar terapung yang terletak hanya 4.4 kilometer dari pusat bandar Hat Yai itu telah dibuka semula kepada pengunjung sejak pertengahan Januari lepas.
Kini, ia kembali meriah dengan kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa, terutamanya dari Malaysia yang mula membanjiri kawasan itu baru-baru ini.
Tinjauan Bernama mendapati pelancong dari Malaysia, khususnya dari Kelantan, Kedah, dan Perlis, merupakan antara kumpulan terbesar yang mengunjungi pasar berkenaan, sekali gus memainkan peranan penting dalam membantu merancakkan semula ekonomi setempat.
Deretan bot kini kembali dipenuhi dengan pelbagai juadah tradisional Thailand seperti tom yam, pulut mangga, dan makanan laut segar yang menjadi daya tarikan utama pelancong.
Suasana meriah turut dirasai apabila pengunjung, termasuk rakyat Malaysia, membanjiri laluan pejalan kaki di sekitar pasar sambil menikmati pengalaman unik membeli-belah di atas air.
Seorang pelancong dari Kelantan, Nurul Hidayah Mohd Salleh, 30, berkata beliau teruja melihat pasar itu pulih selepas sebelum ini hanya melihat kesan kemusnahan banjir menerusi media sosial.
“Saya datang bersama keluarga dan perubahannya sangat ketara. Peniaga sangat mesra dan pilihan makanannya juga amat menarik,” katanya.
Seorang lagi pelancong dari Kedah, Muhammad Firdaus Hassan, 34, berkata kunjungan ke pasar terapung itu merupakan aktiviti “wajib” setiap kali beliau berkunjung ke Hatyai.
“Kali ini suasananya lebih meriah daripada sebelum ini. Kami gembira dapat menyokong peniaga di sini selepas apa yang mereka lalui,” katanya.
Kehadiran pelancong Malaysia dilihat memberi sinar harapan baharu kepada peniaga di Pasar Terapung Khlong Hae.
Bagi para peniaga, kebangkitan semula pasar ini bukan sekadar pemulihan perniagaan, malah merupakan simbol ketabahan komuniti dalam mengharungi cabaran demi kelangsungan hidup.
Bencana banjir yang dianggap terburuk dalam tempoh 20 tahun, dilaporkan telah meragut lebih 100 nyawa serta menjejaskan hampir 360,000 penduduk di 48 daerah di seluruh wilayah selatan Thailand.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
