Pemandu e-hailing mengaku bersalah, mohon maaf pada umat Islam

Mahendra Bhoopaty ketika hadir di Mahkamah Majistret Seremban hari ini. - Gambar/ Bernama
Seorang pemandu e-hailing, P. Mahendra Bhoopaty mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memuat naik video di Facebook yang mengandungi kenyataan sehingga menyebabkan kegentaran awam pada akhir bulan lepas.
Mahendra Bhoopaty, 53, membuat pengakuan itu dan memohon maaf kepada seluruh umat Islam selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didapati memuat naik video di Facebook dengan mengeluarkan kenyataan yang mungkin menyebabkan kegentaran awam, terdorong supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.
Dalam video berkenaan, dia dilaporkan berkata: “kalau kuil India di bawah jambatan haram, yang ini masjid bawah jambatan flyover macam mana? haram ke halal, cuba terangkan.
Perbuatan itu dilakukan di Masjid Jamek Dato' Bandar Hj Ahmad Rasah, Kampung Dato Mansor, di sini pada 27 Feb lepas kira-kira 12.30 tengah hari.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pengarah Pendakwaan Negeri Sembilan, Ku Hayati Ku Haron, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh dengan mengambil kira kepentingan awam.
Beliau berkata perbuatan tertuduh juga boleh menggugat keharmonian negara dan hukuman yang dijatuhkan diharap dapat memberi pengajaran kepada semua pihak supaya tidak menyentuh sensitiviti agama serta rumah ibadat di negara ini.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan denda minimum kerana kini berdepan masalah pendapatan, selain tidak dapat memandu Grab kerana keretanya rosak serta perlu menanggung seorang anak dan bapanya yang uzur.
Majistret menjatuhkan hukuman denda RM4,000 terhadap tertuduh atau tujuh bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

