Pengurusan strategik hadapi fenomena "Hydroclimatic Whiplash" - Sultan Nazrin

Sultan Nazrin bertitah menyampaikan Titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, hari ini. - Gambar Bernama
Pengurusan alam sekitar tidak boleh lagi dianggap isu sampingan dalam era perubahan iklim sebaliknya memerlukan penyelesaian strategik demi menjamin keselamatan dan kelangsungan hidup rakyat.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah, penyelesaian terhadap isu tersebut semakin kritikal kerana negara kini dilihat sedang berdepan dengan fenomena Hydroclimatic Whiplash, iaitu peralihan drastik daripada musim kemarau yang gersang kepada banjir besar melampau dan ia berlaku dalam tempoh singkat.
“Keadaan ini telah memberi tekanan terhadap daya tahan infrastruktur sedia ada yang kini sukar untuk menampung impak bencana luar jangka. Oleh itu langkah proaktif mitigasi banjir diutamakan demi menjamin keselamatan dan kelangsungan hidup rakyat.
“Pelaksanaan projek tebatan banjir serta penyelenggaraan sungai yang berfokus telah mengurangkan jumlah lokasi titik panas (hotspot) banjir di seluruh negeri daripada 332 lokasi pada 2024 kepada 280 lokasi pada 2025,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah demikian ketika menyampaikan Titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.
Sultan Nazrin turut menekankan penyelesaian sebenar isu alam sekitar bukan terletak pada penguatkuasaan undang-undang semata-mata tetapi juga kesedaran terhadap tanggungjawab menjaga alam sekitar.
“Ia terletak pada perubahan falsafah, daripada penguasaan kepada kebertanggungjawaban, daripada eksploitasi kepada penjagaan, dan daripada keangkuhan manusia kepada kerendahan diri sebagai sebahagian daripada alam,” titah baginda.
Baginda bertitah, sikap alpa terhadap isu pengurusan alam sekitar akan mengakibatkan kos pemulihan bencana yang tinggi, membuktikan kerosakan alam sekitar pada akhirnya akan membebankan negara dan negeri dengan tanggungan kewangan yang lebih besar.
Seterusnya, Sultan Nazrin bertitah, membangunkan generasi yang cakna terhadap kelestarian alam sekitar wajib diberikan perhatian.
Titah baginda usaha yang dirintis oleh sekolah di Perak melalui Program Sekolah Tunas Hijau, yang menjadi pemangkin kepada pembentukan jati diri melalui budaya lestari amalan hijau dalam kalangan murid amatlah bertepatan.
“Di bawah fasa satu program ini, 125 sekolah telah berjaya mengurangkan 185.61 tan sisa plastik, sekali gus menyumbang kepada pengurangan lebih 600,000 kilogram jejak karbon dioksida setara (CO2e).
“Kanak-kanak perlu dididik memahami kepentingan kitar semula, fungsi hutan sebagai kawasan tadahan air serta peranan paya bakau sebagai benteng semula jadi daripada hakisan dan ribut,” titah baginda.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

