Penterjemahan 45 jilid ensiklopedia fiqh dijangka siap 2028 - Zulkifli

Dr Zulkifli berucap pada majlis Perasmian Multaqa Panel Pakar Ensiklopedia Fiqh Anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka, pada Isnin. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Projek penterjemahan Al-Mawsu'ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah, iaitu antara ensiklopedia fiqh yang paling lengkap disasar untuk diterbitkan sepenuhnya menjelang 2028.
Ringkasan AI
- Projek penterjemahan Al-Mawsu'ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah, ensiklopedia fiqh terbesar, dijangka siap sepenuhnya menjelang 2028 dengan melibatkan 40 penterjemah dan telah menyiapkan lebih 30 jilid setakat ini.
- Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, menyatakan projek itu adalah inisiatif terbesar DBP untuk memartabatkan ilmu Islam dalam bahasa Melayu, membolehkan akses orang awam memahami fiqh dengan lebih mudah.
- Usaha penyebaran bahan keilmuan Islam termasuk edaran lebih 500,000 naskhah al-Quran ke seluruh dunia menunjukkan impak global, menyumbang kepada pemahaman Islam yang lebih mendalam terutamanya dalam kalangan komuniti Muslim minoriti.
"Jika kita kekalkan dalam bahasa Arab, pakar sajalah yang baca. Jadi tujuan kita adalah untuk memberi akses kepada orang awam untuk memahami ensiklopedia fiqh dalam bahasa Melayu. Jadi kita gunakan bahasa yang mudah iaitu bahasa Melayu.
"Pencerahan itu akan diteruskan oleh para asatizah (pendidik islam) untuk memahami fiqh secara mendalam sebab ini adalah antara satu ensiklopedia yang lengkap, dikeluarkan oleh Kementerian Wakaf Kuwait," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Nadwah Panel Pakar Ensiklopedia Fiqh di Menara DBP di sini yang turut dihadiri Ketua Pengarah DBP, Dr Hazami Jahari.
Beliau berkata, Mawsu'ah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah ditulis oleh para ulama muktabar di bawah Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Kuwait dan diiktiraf sebagai rujukan fiqh yang komprehensif merangkumi pelbagai mazhab.
"Inisiatif ini bukan sahaja memartabatkan ilmu, malah menjadi medium pencerahan kepada masyarakat, dengan huraian fiqh yang disampaikan dalam bahasa yang lebih mudah dan difahami," katanya.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata, usaha penyebaran bahan keilmuan Islam turut menunjukkan impak global apabila lebih 500,000 naskhah al-Quran telah diedarkan ke seluruh dunia daripada hampir sejuta naskhah yang dicetak setakat ini.
Beliau berkata, edaran terbaharu melibatkan beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Ivory Coast dan Ghana dengan permintaan dari luar negara terus meningkat.
"Apa yang kita lihat, usaha yang diilhamkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ini telah menarik perhatian masyarakat antarabangsa khususnya dari negara yang mempunyai komuniti Muslim minoriti. Apabila al-Quran diedarkan dan dibaca, mereka mula memahami Islam dengan lebih mendalam," katanya.
Inisiatif itu adalah sebahagian daripada projek Solidariti Wakaf Sejuta al-Quran yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyebarkan risalah al-Quran dengan terjemahan pelbagai bahasa ke seluruh dunia.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


