Pesanan buat Azam Baki: "Jangan tunduk pada tekanan" – Ketua #RasuahBusters

Hussamuddin menasihatkan, Azam agar tidak tunduk terhadap sebarang tekanan politik atau tekanan awam ketika berdepan kontroversi terbaharu membabitkan dirinya. - Gambar Facebook Hussamuddin Yaacub
Ketua Pasukan #RasuahBusters, Datuk Hussamuddin Yaacub, tampil memberi peringatan tegas kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, agar tidak tunduk terhadap sebarang tekanan politik atau tekanan awam ketika berdepan kontroversi terbaharu membabitkan dirinya.
Dalam kenyataan ringkas yang dimuat naik ke Facebook, beliau menegaskan, negara ini berpegang kepada prinsip undang‑undang dan sebarang isu peribadi perlu ditangani melalui proses sah.
“Kita negara undang‑undang. Sementara kemelut peribadi diselesaikan cara undang‑undang, KP SPRM jangan tunduk pada tekanan, teruskan usaha perangi rasuah habis‑habisan," kata Hussamuddin yang juga pengasas dan penasihat Kumpulan Media Karangkraf.
Kontroversi membabitkan Azam kembali mencuri perhatian selepas laporan Bloomberg mendedahkan bahawa beliau memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Bhd, dengan nilai dianggarkan sekitar RM800,000 ketika masih menerajui SPRM.
Rekod korporat menunjukkan saham itu dibeli dan dijual dalam tahun yang sama, iaitu pada 2024.
Susulan laporan itu, Azam menegaskan, beliau telah mengisytiharkan semua pegangan berkenaan, malah mempertimbangkan tindakan undang‑undang terhadap laporan yang didakwa bersifat mencemar imejnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa saham berkenaan telah dijual semula dalam tempoh kurang setahun.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

