Polis tumpas sindiket dadah hidup mewah, rampasan dan sitaan cecah RM14.15 juta

Polis menyita pelbagai aset bernilai RM11.05 juta milik sindiket dadah yang ditumpaskan, termasuk 18 kenderaan dengan tiga daripadanya merupakan kereta mewah. -Gambar Astro AWANI/Ikqwan Lee
Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang aktif di sekitar Lembah Klang menerusi Op Empis pada Khamis lalu, dengan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta mencecah RM14.15 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan, berkata sindiket berkenaan dikesan mula beroperasi sejak awal tahun 2026.
Mereka menjadikan unit apartmen sebagai pusat operasi sebelum mengedarkan dadah ke pasaran sekitar Lembah Klang.
"Dalam siri serbuan yang dijalankan, polis menahan seramai 19 individu berusia antara 24 hingga 48 tahun, terdiri daripada 12 lelaki tempatan, lima wanita tempatan serta dua wanita warga China.
"Serbuan turut membawa kepada penemuan stor penyimpanan dan lokasi pemprosesan dadah di sebuah apartmen di Taman Wahyu serta sebuah rumah di Kepong.
“Hasil keseluruhan pemeriksaan menemukan ketamin seberat 31.8 kilogram (kg), erimin 5 (4.2 kg), pil ekstasi (0.89 kg) dan serbuk MDMA (6.5 kg) yang dianggarkan bernilai RM3.1 juta,” katanya pada sidang media JSJN, di sini, pada Selasa.
Menurut beliau, setiap ahli sindiket mempunyai peranan tersendiri termasuk suspek ke-12 yang dikenal pasti sebagai ketua, manakala ahli lain bertindak sebagai pembantu, penjaga stor dan penghantar.
"Suspek kedua, ke-13 dan ke-14 direman selama tujuh hari bermula 17 hingga 23 April bagi membantu siasatan.
"Tujuh lagi suspek diambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985, manakala baki lapan individu dibebaskan dengan jaminan polis," jelasnya.
Polis turut menyita pelbagai aset bernilai RM11.05 juta, termasuk 18 kenderaan dengan tiga daripadanya merupakan kereta mewah.
Selain itu, rampasan turut melibatkan 27 jenis barang kemas seberat 1.66 kilogram, tiga keping jongkong emas seberat 2.1 gram, lapan jam tangan mewah, sebuah beg tangan berjenama serta sebuah komputer riba.
Tambah beliau, wang tunai pelbagai mata wang turut dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM4.9 juta.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

