Potong gaji menteri: Saya sedia terima arahan PM - Fahmi

Fahmi ketika menghadiri program Kempen Kesedaran Kesihatan Awam Universiti Malaya 2026 bertemakan ‘tiga serangkai satu solusi’ di sini hari ini. - Gambar/ Astro AWANI
Cadangan untuk memotong gaji jemaah menteri dalam menjimatkan perbelanjaan negara ketika menghadapi krisis, pernah dibincangkan namun ia terpulang kepada keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata beliau secara peribadi bersedia menerima sebarang arahan daripada Perdana Menteri mengenai cadangan tersebut.
“Saya sedia terima arahan daripada Perdana Menteri, kita pernah bincang tetapi terpulang kepada beliau (Perdana Menteri),” katanya.
Tambahnya, jemaah menteri juga telah melaksanakan pemotongan gaji selepas pembentukan kabinet Kerajaan MADANI sebanyak 20 peratus bermula Disember 2022.
“Memang selama ini sejak hari pertama gaji kami telah dipotong,” katanya lagi.
Fahmi ditemui media semasa menghadiri program Kempen Kesedaran Kesihatan Awam Universiti Malaya 2026 bertemakan ‘tiga serangkai satu solusi’ di sini hari ini.
Semalam, Anwar berkata kerajaan terbuka dengan cadangan untuk memotong gaji jemaah menteri seandainya keadaan ekonomi semakin meruncing.
Namun beliau menjelaskan bahawa gaji menteri-menteri Kabinetnya secara relatif masih rendah dan merupakan hak berdasarkan prestasi mereka.
Perdana Menteri berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai langkah penjimatan kerajaan susulan konflik Asia Barat yang mengganggu rantaian bekalan global sekali gus mendorong kenaikan kos di peringkat nasional.
Terdahulu media antarabangsa melaporkan, Menteri Kewangan Indonesia, Purbaya Yudhi Sadewa mencadangkan agar kerajaan memotong gaji menteri sebanyak 25 peratus.
Namun cadangan tersebut belum diputuskan secara rasmi dan masih diperingkat perbahasan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

