Reedie, tokoh berpengaruh Olimpik dan anti-doping, meninggal dunia pada usia 84 tahun

Craig Reedie, seorang tokoh berpengaruh dalam dunia Olimpik dan anti-doping menghembuskan nafas terakhir pada usia 84 tahun. - Gambar fail Reuters
Craig Reedie, seorang tokoh berpengaruh dalam dunia Olimpik dan anti-doping dilaporkan meninggal dunia pada usia 84 tahun, menurut kenyataan World Athletics pada Isnin.
Mendiang Reedie yang juga bekas pemain badminton antarabangsa, pernah mewakili Britain sebelum mengalihkan tumpuannya kepada pentadbiran sukan, di mana beliau kemudiannya memainkan peranan penting di peringkat global.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Presiden Agensi Anti-Doping Dunia (World Anti-Doping Agency), mempengerusikan Persatuan Olimpik British dan menjadi Naib Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa.
“Craig ialah seorang ahli sukan sejati, tetapi memiliki minda dan ketabahan seorang ahli politik. Beliau bersikap tegas dengan pendapatnya, bijaksana, licik, dan yang paling utama, setia kepada mereka yang benar-benar ingin berkhidmat untuk sukan,” kata Presiden World Athletics, Sebastian Coe, dalam satu kenyataan.
“Beliau tidak suka membuang masa dengan orang yang dangkal, tidak berpura-pura dan sentiasa berani menyuarakan pendiriannya.
“Pendekatannya sangat langsung dan tajam, beliau sentiasa bersedia berjuang mempertahankan apa yang dipercayainya benar, dan berada di barisan hadapan dalam setiap pertempuran. Dan pada waktu-waktu jarang beliau tersilap, beliau akan mengakui kesalahan tersebut, menjelaskan pendiriannya, dan memohon maaf.” - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
