Remaja maut langgar belakang lori selepas hantar kasut

Dua rakan kemalangan, salah seorang maut selepas melanggar lori rosak di bahu jalan dalam kejadian di Kilometer 216 Lebuhraya PLUS arah selatan pada Isnin. -Foto Sinar Harian
Seorang remaja maut manakala rakannya parah selepas motosikal ditunggangi merempuh belakang lori rosak di Kilometer 216 Lebuhraya PLUS arah selatan di sini pada petang Isnin.
Kedua-dua mangsa yang berusia 18 tahun itu dikatakan dalam perjalanan pulang selepas menghantar kasut milik abang pembonceng di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seremban.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Melaka, Superintendan Muhammad Zaki Ramat berkata, kemalangan sekitar jam 2.35 petang itu melibatkan sebuah lori jenis Scania dan motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang dinaiki dua rakan berkenaan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati lori berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke selatan, manakala motosikal dinaiki dua lelaki dari arah Seremban menghala ke Melaka.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, lori tersebut dipercayai mengalami masalah teknikal pada tayar belakang sebelah kanan sebelum berhenti di susur keluar ke laluan utama lebuh raya tanpa sebarang tanda kecemasan atau amaran.
“Tidak lama kemudian, motosikal berkenaan dipercayai gagal dikawal lalu melanggar bahagian belakang sebelah kanan lori tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, akibat kemalangan itu penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian muka dan kepala.
“Pembonceng mengalami kecederaan di bahagian kepala serta patah pergelangan tangan dan telah dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.
“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurul Salina Rosli di talian 011-25435507 atau hadir ke balai polis berhampiran. -Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

