Rundingan AS–Iran dihentikan sementara, perbezaan masih wujud

Hotel Serena kelihatan di latar belakang ketika AS dan Iran mengadakan rundingan damai di Islamabad, Pakistan. - Foto REUTERS
Rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran bagi menamatkan konflik ketenteraan selama enam minggu dilaporkan dihentikan buat sementara waktu, dengan kedua-dua pihak masih berdepan beberapa perbezaan utama, menurut kerajaan Iran awal Ahad.
Perbincangan yang diadakan di Islamabad itu merupakan rundingan langsung pertama antara AS dan Iran dalam tempoh lebih sedekad serta perbincangan peringkat tertinggi sejak Revolusi Islam 1979.
Hasil rundingan berkenaan dijangka menentukan masa depan gencatan senjata dua minggu yang rapuh serta pembukaan semula Selat Hormuz, laluan penting yang mengendalikan kira-kira 20 peratus bekalan tenaga global.
Dalam satu hantaran di platform X, kerajaan Iran memaklumkan rundingan telah berakhir selepas berlangsung selama kira-kira 14 jam, dan pakar teknikal daripada kedua-dua pihak akan mula bertukar dokumen.
Walaupun rundingan itu dihentikan buat sementara waktu, Tehran berkata perbincangan akan diteruskan meskipun masih terdapat perbezaan pendirian, tanpa menyatakan tarikh rundingan akan disambung semula.
Bagaimanapun, seorang wartawan televisyen kerajaan Iran berkata rundingan berkemungkinan diteruskan pada Ahad.
Delegasi AS yang diketuai Naib Presiden JD Vance, bersama utusan khas Steve Witkoff dan menantu Presiden Donald Trump, Jared Kushner, bertemu Speaker Parlimen Iran Mohammad Baqer Qalibaf serta Menteri Luar Abbas Araqchi selama kira-kira dua jam sebelum rundingan ditangguhkan sementara, menurut sumber Pakistan yang bertindak sebagai orang tengah.
Pentadbiran Trump setakat ini belum mengesahkan secara rasmi sama ada rundingan telah berakhir atau memperincikan perbezaan yang masih wujud antara kedua-dua pihak.
Delegasi Iran tiba di Pakistan pada Jumaat dalam suasana berkabung bagi memperingati bekas Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, serta individu lain yang terkorban dalam konflik tersebut.
Mereka turut membawa barangan peribadi pelajar yang terkorban dalam serangan udara AS berhampiran sebuah kemudahan ketenteraan, yang sedang disiasat oleh Pentagon.
Seorang lagi sumber Pakistan berkata suasana rundingan tegang, dengan perubahan emosi ketara daripada kedua-dua pihak sepanjang sesi pertama perbincangan.
Sepanjang rundingan berlangsung, bandar Islamabad dikawal ketat dengan kehadiran ribuan anggota keselamatan dan tentera, mencerminkan kepentingan diplomatik peranan Pakistan sebagai perantara, satu perubahan besar bagi negara itu selepas pernah berdepan pengasingan diplomatik sebelum ini.
Selat Hormuz Jadi Isu Utama
Isu Selat Hormuz kekal menjadi tumpuan utama rundingan.
Ketika perbincangan bermula, tentera AS berkata pihaknya sedang menyediakan langkah untuk memulakan usaha menyingkirkan periuk api di selat berkenaan.
Washington turut mendakwa dua kapal perangnya telah melalui laluan itu, dakwaan yang dinafikan oleh media kerajaan Iran.
Sebelum rundingan bermula, sumber kanan Iran memberitahu Reuters bahawa AS bersetuju membebaskan aset Iran yang dibekukan di Qatar dan bank-bank luar negara lain, namun dakwaan itu telah dinafikan oleh pegawai AS.
Selain pembebasan aset, Iran menuntut kawalan ke atas Selat Hormuz, pembayaran pampasan perang, serta gencatan senjata menyeluruh termasuk di Lebanon.
Tehran juga menyuarakan hasrat mengenakan bayaran transit ke atas kapal yang melalui selat berkenaan.
Sementara itu, Presiden Trump menegaskan matlamat minimum AS adalah memastikan laluan bebas untuk perkapalan global di Selat Hormuz serta melemahkan program pengayaan nuklear Iran bagi menghalang pembangunan senjata atom.
Sekutu utama AS, Israel, yang turut menyertai serangan ke atas Iran pada 28 Februari lalu, meneruskan operasi ketenteraan terhadap kumpulan Hezbollah di Lebanon dan menyatakan konflik itu tidak termasuk dalam gencatan senjata AS–Iran.
Tahap ketidakpercayaan antara semua pihak kekal tinggi ketika rundingan dihentikan sementara waktu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
