Sabah FC juara Piala Cabaran, tewaskan Penang FC 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti

Sabah FC muncul juara Piala Cabaran 2025/2026 selepas menewaskan Penang FC 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti, setelah kedua-dua pasukan terikat dengan agregat 1-1 sebaik tamat perlawanan akhir kedua di Stadium Likas malam ini. - Foto Facebook Sabah F
Sabah FC muncul juara Piala Cabaran 2025/2026 selepas menewaskan Penang FC 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti, setelah kedua-dua pasukan terikat dengan agregat 1-1 sebaik tamat perlawanan akhir kedua di Stadium Likas di sini malam ini.
Beraksi di hadapan 20,589 penonton, Sabah FC lebih banyak menguasai permainan pada separuh masa pertama, namun Penang FC nampak lebih berbahaya menerusi serangan pantas dan lebih banyak melakukan percubaan ke pintu gol lawan.
Bagaimanapun, ketumpulan jentera serangan yang dialami pada perlawanan pertama sebelum ini masih membelenggu skuad Harimau Kumbang.
Skrip sama berpanjangan pada separuh masa kedua apabila pasukan tuan rumah lebih banyak menguasai permainan tetapi pasukan pelawat terus menyerang menerusi gerakan Tchetche Kipre namun kedua-dua pasukan masih sukar memecah kebuntuan.
Sebaik masa penuh permainan berakhir, Sabah FC dan Penang FC yang diterajui Wan Rohaimi Wan Ismail masih terikat tanpa jaringan, sekali gus kekal dengan agregat 1-1 yang membawa perlawanan ke masa tambahan.
Kedua-dua pasukan bagaimanapun masih gagal memecah kebuntuan selepas bermain 120 minit, seterusnya membawa perlawanan ke penentuan sepakan penalti.
Aksi penentuan sepakan penalti terarah kepada penjaga gol Sabah FC Damien Lim dan Penang FC Ramdhan Ab Hamid selepas masing-masing berjaya menyelamatkan dua sepakan penalti untuk mengikat kedudukan 3-3 selepas lima sepakan penalti asal.
Ketika perlawanan berlarutan ke sepakan penalti secara sudden death, sepakan pemain pertahanan Penang FC Adib Raop tersasar, sekali gus mengecewakan penyokong skuad Harimau Kumbang.
Pemain sayap Sabah FC Farhan Roslan kemudian tenang menyudahkan sepakan penaltinya untuk menewaskan Ramdhan.
Kejayaan merangkul gelaran Piala Cabaran itu menamatkan penantian trofi selama tujuh tahun skuad Sang Badak selepas kali terakhir merangkul Liga Premier pada 2019, dan kali pertama Piala Cabaran dimiliki pasukan dari Borneo.
Terdahulu, sebelum perlawanan bermula, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menyerahkan bantuan RM20,000 kepada tabung Kerajaan Negeri Sabah bagi membantu mangsa-mangsa kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan melibatkan 9,007 penduduk.
Semua yang hadir kemudian turut bertafakur selama seminit bagi mengingati mangsa-mangsa yang terlibat dalam kejadian yang berlaku awal pagi tadi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

