Sedia asrama khas antara kaedah atasi masalah pelajar di sempadan - Mohamed Fadzli

Seramai 34 pelajar yang dikesan memasuki negara ini melalui laluan tidak diwartakan di Pengkalan Haram Pohon Jambu, Rantau Panjang, pagi Ahad ditahan bagi menjalani proses dokumentasi. - Gambar Bernama
Kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) akan mencari kaedah terbaik bagi menangani isu pelajar dari Thailand yang merentasi Sungai Golok menggunakan laluan tidak sah untuk ke sekolah di sekitar Rantau Panjang, Pasir Mas.
Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata antara kaedah yang dilihat efektif termasuk menyediakan penempatan atau asrama khas kepada pelajar yang terlibat.
“Kerajaan negeri mengambil maklum isu ini, yang telah diselesaikan secara baik semalam. Kami di peringkat negeri melalui Yayasan Islam Kelantan (YIK) bersama KPM dan pihak berkuasa akan meneliti kaedah ini untuk pastikan pelajar berkenaan dapat belajar dengan sempurna tanpa sebarang masalah.
“Hal ini kerana walaupun mereka menetap di sempadan, pelajar ini juga warganegara Malaysia yang berhak mendapat pendidikan. Kami tidak mahu kerana isu ini pelajar berhenti sekolah, kena pastikan mereka dapat teruskan pelajaran dan mematuhi kaedah yang akan ditetapkan nanti,” katanya pada Majlis Perasmian Pembukaan Cawangan Ahmads Fried Chicken di sini hari ini.
Mohamed Fadzli bagaimanapun berkata ibu bapa dan pelajar perlu memastikan undang-undang yang ditetapkan menerusi kaedah yang bakal diperkenalkan itu dipatuhi.
Semalam, 34 pelajar berusia antara tujuh hingga 16 tahun dari dua sekolah rendah dan satu sekolah menengah ditahan kira-kira 7 pagi selepas didapati menyeberangi Sungai Golok secara haram dari Thailand ke Malaysia.
Sementara itu, Mohamed Fadzli ketika mengulas berhubung kemalangan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas yang menyebabkan kematian seorang pelajar perempuan tingkatan satu semalam berkata tragedi menyayat hati itu perlu dijadikan iktibar kepada semua pihak.
“Kejadian ini menyedarkan kita kemalangan boleh berlaku di mana-mana dan kepada sesiapa sahaja. Justeru, langkah keselamatan perlu sentiasa diberi perhatian. Kita doakan keluarga mangsa dapat bersabar dan rakyat dapat mengawal diri daripada melontarkan komen negatif bagi menjaga perasaan semua pihak,” katanya.
Dalam kejadian pada 1.50 tengah hari itu, seorang pelajar Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, 13, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi pelajar perempuan cedera parah selepas dipercayai dirempuh kereta dipandu guru wanita.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Azmir Damiri berkata siasatan awal mendapati pemandu kereta berkenaan dipercayai tersalah menekan pedal minyak sebelum terbabas merempuh mangsa.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

