Selangor belum putuskan waktu kerja penjawat awam sepanjang Ramadan - MB

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata buat masa ini, pelaksanaan jadual kerja fleksibel diteruskan mengikut keperluan dan situasi semasa. - Gambar fail/Bernama
BESTARI JAYA: Kerajaan Negeri Selangor belum menetapkan waktu operasi penjawat awam sepanjang Ramadan tahun ini.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata buat masa ini, pelaksanaan jadual kerja fleksibel diteruskan mengikut keperluan dan situasi semasa.
Beliau berkata sebarang keputusan lanjut berhubung perubahan waktu kerja akan dibincangkan bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.
"(Perubahan khusus waktu operasi) nanti saya akan putuskan sebab pengaturan penjawat awam ini di bawah (bidang kuasa) Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pecah Tanah Projek Solar Skala Besar Bestari di sini hari ini.
Amirudin berkata perkara itu perlu dibincangkan kerana ada jabatan yang memerlukan operasi berterusan dan tidak boleh diberikan kelonggaran waktu bekerja kerana melibatkan perkhidmatan kritikal kepada rakyat.
"Contohnya pengoperasian LUAS (Lembaga Urus Air Selangor) bagi memastikan bekalan air mentah sentiasa mencukupi, ia tidak boleh diberi waktu fleksibel kerana jika berlaku gangguan, kesannya besar kepada rakyat," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


