Syarikat pengeluar makanan sejuk beku didenda RM135,000 buang efluen perindustrian

Hakim Siti Shakirah Mohtarudin menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap syarikat Ramly Food Processing Sdn Bhd. -Gambar hiasan
Sebuah syarikat pengeluar makanan sejuk beku dijatuhi hukuman denda RM135,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah membuang efluen perindustrian mengandungi minyak dan pepejal terampai, dua tahun lepas.
Hakim Siti Shakirah Mohtarudin menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap syarikat Ramly Food Processing Sdn Bhd yang diwakili pengurusnya, Shaiful Azwa Zakaria, 49, selaku Orang Kena Saman (OKS) di akhir kes pembelaan.
"Mahkamah menjatuhkan hukuman denda terhadap syarikat itu (Ramly Food Processing) iaitu RM65,000 bagi pertuduhan pertama dan denda RM70,000 untuk pertuduhan kedua," kata Siti Shakirah.
Syarikat Ramly didakwa membuang efluen perindustrian mengandungi kandungan parameter minyak dan geris dengan kepekatan sebanyak 17.9 miligram per liter (mg/l) melebihi had standard B iaitu 10 mg/l ke dalam perairan pedalaman Malaysia di Ramly Food Processing, Batu Caves pada 1.20 pagi, 20 Julai 2024.
Bagi pertuduhan kedua, syarikat itu turut didakwa membuang efluen perindustrian mengandungi kandungan parameter pepejal terampai dengan kepekatan 228 miligram per liter (mg/l) iaitu melebihi had standard B iaitu 100 mg/l ke dalam perairan pedalaman Malaysia pada tempat, masa dan tarikh sama.
Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Peraturan 11(1)(b) Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 (Akta 127) dan boleh dihukum di bawah Peraturan 32 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Tiga saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan memberi keterangan dalam perbicaraan kes bermula pada 30 Jun 2025.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd Ridzuan Zainal dan Norliza Ismail manakala peguam Maznah Kamarudin mewakili syarikat berkenaan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

