Wanita gigit pekerja stesen Jerman dalam usaha menyusup ke dalam kereta api

Seorang wanita yang cuba menaiki kereta api di Jerman pada saat akhir bertindak luar biasa apabila menggigit lengan seorang pekerja stesen yang cuba menghalangnya. - Gambar hiasan
Seorang wanita yang cuba menaiki kereta api di Jerman pada saat akhir bertindak luar biasa apabila menggigit lengan seorang pekerja stesen yang cuba menghalangnya, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Wanita berusia 36 tahun itu cuba menaiki kereta api tempatan di Stesen Pasing, Munich ketika pintu sedang ditutup, menurut polis pada Rabu.
Pekerja berusia 29 tahun itu cuba menghalangnya, namun wanita itu menggigit lengannya sehingga menyebabkan luka yang jelas kelihatan.
Lelaki bagaimanapun itu tidak mengalami kecederaan serius dan masih mampu meneruskan tugasnya.
Wanita itu kini disiasat atas kesalahan menyebabkan kecederaan pada tubuh.
Pengendali kereta api nasional Jerman, Deutsche Bahn berikrar untuk mempertingkatkan langkah keselamatan bagi melindungi kakitangannya selepas satu serangan maut terhadap konduktor kereta api mencetuskan kejutan di seluruh negara awal tahun ini.
Antara langkah yang dipertimbangkan ialah memberi pilihan kepada semua pekerja untuk memakai kamera badan.
Dalam kejadian berasingan, seorang pekerja berusia 36 tahun diserang di dalam kereta api di negeri barat Rhineland-Palatinate oleh penumpang tanpa tiket, mengalami kecederaan parah sebelum meninggal dunia di hospital.
Suspek yang dipercayai, seorang warga Greece berusia 26 tahun, kini dalam tahanan.
Menurut Deutsche Bahn, terdapat kira-kira 3,000 kes serangan fizikal terhadap kakitangannya tahun lepas.
Walaupun jumlah itu sedikit menurun berbanding tahun sebelumnya, kesatuan pekerja kereta api EVG menyatakan yang rasa selamat dalam kalangan pekerja merosot dengan ketara, berdasarkan tinjauan terhadap kira-kira 4,000 pekerja yang dijalankan tahun lepas.
-- BERNAMA-dpa
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
